PETALING JAYA: Usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memberi kemudahan kesihatan yang lebih kepada rakyat seperti yang tercatat dalam Kertas Putih Kesihatan (KPK) berada di landasan tepat terutama dalam memenuhi sasaran untuk membaik pulih sebanyak 1,200 klinik daif di seluruh negara mulai tahun ini sehingga tahun 2025.
Usaha itu penting kerana ia langkah pertama ke arah memastikan akses kepada kemudahan kesihatan yang sama rata terutama bagi penduduk di luar bandar.
Untuk itu, bagi fasa pertama tahun 2023, sasarannya adalah untuk membaik pulih 436 klinik dengan 423 buah klinik dilaksanakan oleh KKM sendiri manakala selebihnya oleh Jabatan Kerja Raya.
Bagi tujuan itu RM100 juta telah diperuntukkan kepada kementerian tersebut dalam Belanjawan 2023, yang kemudiannya diberikan tambahan sebanyak RM11 juta bagi melancarkan usaha berkenaan.
Keseluruhan peruntukan untuk menaik taraf klinik daif ini berjumlah RM111 juta untuk semua negeri di seluruh negara tanpa ada yang terpinggir.
Ia jelas mencerminkan bahawa KKM di bawah pimpinan Menterinya, Dr. Zaliha Mustafa memberi perhatian khusus dalam soal keselesaan orang ramai dan menjalankan tanggungjawab untuk rakyat tanpa mengira parti politik yang mentadbir sesebuah negeri itu.
Ia juga selari dengan Pembudayaan Masyarakat Madani oleh kerajaan termasuk bertekad menambah baik mutu kesihatan seperti mana yang ditegaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 di Dewan Rakyat baru-baru ini.
Antaranya kata Perdana Menteri, ia menyasarkan reformasi untuk dilaksanakan dalam tempoh 15 tahun melalui anjakan utama pengukuhan perkhidmatan penjagaan kesihatan.
Kata beliau, sebanyak 1,200 buah klinik daif di seluruh negara akan dinaiktarafkan untuk tempoh 2023 hingga tahun 2025 bagi menjamin mutu perkhidmatan. Kerajaan bersetuju untuk menyegerakan projek naik taraf fasa pertama Hospital Sultanah Aminah dengan anggaran kos sebanyak RM500 juta bagi menangani masalah kesesakan yang telah sekian lama berlanjutan.
“Kerajaan juga akan meneliti cadangan sewaan bagi memastikan mutu rawatan kesihatan yang terbaik buat rakyat menggunakan peralatan yang termaju dan berteknologi tinggi. Pelaksanaan rekod perubatan elektronik di hospital dan klinik kesihatan akan diperluaskan ke seluruh negara bagi memastikan perkongsian rekod perubatan yang lancar dan sistematik.
“Liputan perlindungan kesihatan akan ditingkatkan melalui perluasan Skim Perubatan Madani bagi menzahirkan hasrat murni kerajaan dalam membantu golongan kurang berkemampuan. Isu kesihatan mental yang semakin membimbangkan juga menjadi keutamaan,” kata Perdana Menteri.
Ternyata komitmen Kerajaan Perpaduan melalui KKM itu menampakkan hasil apabila sebanyak 116 buah klinik di seluruh negara yang dikategorikan sebagai daif telah siap dibaik pulih sepenuhnya.
Sementara 341 klinik dijadualkan siap menjelang akhir tahun ini dan empat lagi masih dalam proses perolehan.
Antara negeri yang sedang giat dilaksanakan program baik pulih klinik daif adalah di Terengganu melibatkan sebanyak 58 buah klinik dengan kosnya sebanyak RM8,914,795 yang dilaksanakan sepenuhnya oleh kementerian tersebut.
Negeri kedua tertinggi pula ialah Negeri Sembilan dengan 44 klinik daif dibaik pulih dengan kos berjjumlah RM5,806,000 yang semuanya turut dilaksanakan oleh KKM.
Negeri-negeri lain yang mempunyai jumlah klinik daif yang dibaik pulih yang tinggi adalah Johor (43), Perak (42) dan Kedah (40).
Menurut Dr. Zaliha, fasiliti daif ditakrifkan menerusi tiga kriteria iaitu dari segi struktur seperti struktur kayu atau separa kayu yang usang atau pun mengalami kerosakan teruk, kriteria kedua pula dari segi sistem iaitu sistem kejuruteraan tidak berfungsi dengan baik serta mengganggu operasi klinik.
Kriteria ketiga pula ialah risiko iaitu risiko keselamatan dan membahayakan pesakit mahupun petugas kesihatan termasuk fasiliti tersebut mempunyai kerosakan seperti keretakan bangunan atau terdedah kepada kebakaran.
Laporan Pasukan Petugas Khas Projek Pembaikan Klinik Daif dan Fasiliti Daif KKM memaklumkan, status pelaksanaan sehingga 23 Ogos lalu adalah terdapat 116 projek yang berada pada peringkat pasca pelaksanaan, 318 projek dalam pelaksanaan dan dua projek (pra pelaksanaan).
Dua projek yang berada di fasa prapelaksanaan tersebut adalah di Klinik Kesihatan Batu Arang di Selangor yang diperuntukkan sebanyak RM600,000 manakala Klinik Desa Selayang Baru jga di Selangor menerima dana RM500,000.
Melihat pada jangkaan penyiapan projek tersebut, setakat ini, 116 klinik daif berjaya disiapkan, diikuti dengan 79 projek pada September ini, Oktober (97 projek), November (35 projek) dan Disember pula sebanyak 70 projek.
Usaha KKM ini sudah pun terkandung dalam KPK yang turut mengandungi beberapa strategi utama lain dan selari dengan prinsip Madani yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 27 Julai lalu.
Melalui KPK, Kerajaan Perpaduan memberi penekanan kepada pembangunan sistem kesihatan inklusif yang memenuhi keperluan kesihatan setiap individu selain memastikan kemampanan jangka panjang sistem kesihatan yang selari dengan tumpuan Ekonomi Madani iaitu meningkatkan darjat kehidupan rakyat.
Kata Dr. Zaliha, perkara ini penting kerana pembangunan kemudahan dan infrastruktur kesihatan merupakan agenda yang perlu diberi perhatian kerana keperluan dan kehendak masyarakat terutamanya permintaan kepada akses kesihatan yang lebih baik sentiasa meningkat setiap masa.
Sebab itu katanya, semua projek naik taraf 436 klinik daif di seluruh negara akan dipastikan siap pada penghujung tahun ini.supaya ia dapat memberi keyakinan kepada kerajaan untuk meluluskan peruntukan bagi tujuan yang sama tahun hadapan. – UTUSAN