Kilang plastik 'sumbat' 325 pekerja dalam lima ruang - Utusan Malaysia

Kilang plastik ‘sumbat’ 325 pekerja dalam lima ruang

MOHD. ASRI ABDUL WAHAB (tiga dari kiri) melihat keadaan bilik tidur pekerja asing dalam pemeriksaan ke atas sebuah premis yang dijadikan penginapan di Taman Tan Sri Yaakob, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sebuah kilang memproses plastik di Taman Tan Sri Yaakob, di sini dikesan ‘menyumbat’ seramai 325 pekerja asing dalam lima ruangan yang dijadikan penginapan dengan purata sebuah penginapan menempatkan 65 orang.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Kementerian Sumber Manusia (KSM), Mohd. Asri Abdul Wahab berkata, majikan berkenaan turut dikesan melanggar beberapa hak asasi melibatkan kediaman pekerja sejak 2021.

Justeru, pihaknya akan membuka kertas siasatan bagi mengenal pasti apakah kesalahan-kesalahan yang telah dilakukan pihak majikan, dengan setiap unit kediaman boleh dikenakan kompaun maksimum RM50,000.

“Dalam operasi dijalankan, saiz ruangan penginapan disediakan adalah bersesuaian untuk kegunaan seramai enam pekerja sahaja, dengan sebuah unit bilik air. Selain itu, pekerja juga tidak disediakan lokar berkunci untuk menyimpan barangan peribadi termasuk pasport mereka.

“Setakat kita tengok tadi, ada unit penginapan dengan katil pun tidak disediakan. Bilik digunakan untuk tidur juga adalah kawasan memasak dengan barangan seperti bawang dan cili juga disimpan bersama-sama serta peti ais juga ada di dalam bilik tidur.

“Selain itu, ada juga lot penginapan yang mana kawasan mandinya tidak berdinding dan berada bersebelahan dengan dapur tempat memasak,” katanya selepas mengetuai pemeriksaan ke atas premis tersebut yang turut dihadiri Setiausaha Bahagian KSM, S. Siva Kumar dan Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Johor, Tong Sing Chuang.

Mohd. Asri berkata, pihak majikan tersebut akan dikenakan tindakan di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Pindaan) 2019 (Akta 446).

“Akta ini telah dikuatkuasakan sejak September 2020, sudah lama, tiga tahun sebenarnya. Jadi, sepatutnya majikan yang menggaji pekerja asing sudah maklum dengan perkara ini dan patuhi akta berkenaan, tetapi apa yang kita lihat hari ini memang diluar akta tersebut,” katanya.

Beliau memaklumkan pemeriksaan itu hasil aduan awam yang diterima pihaknya menerusi pelbagai sumber termasuk risikan yang dilakukan.

“Setelah aduan-aduan berkenaan diterima, kita akan lakukan serbuan dan tindakan akan diambil sekiranya benar berlaku pelanggaran akta oleh majikan terlibat,” jelasnya 

Mohd. Asri turut memaklumkan pihaknya telah membuka sebanyak 326 kertas siasatan sepanjang tahun ini dengan 187 daripadanya telah dikenakan kompaun berjumlah RM1.9 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya