Kerjasama PH-BN kunci kemenangan - Suhaizan - Utusan Malaysia

Kerjasama PH-BN kunci kemenangan – Suhaizan

SUHAIZAN KAYAT ditemui media selepas diumumkan memenangi PRK Parlimen Pulai di Pusat Penjumlahan Undi di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Ahli Parlimen Pulai yang baharu, Suhaizan Kayat mengakui kerjasama erat antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menjadi kunci utama kemenangan beliau pada Pilihan Raya Kecil (PRK), malam ini.

Justeru, bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu bersyukur kerana berjaya mengakhiri rekod kekalahan dalam enam pilihan raya sebelum ini dan kemenangan dengan majoriti 18,641 undi itu merupakan satu kemenangan yang meyakinkan bagi kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kalau banding majoriti sebelum ini adalah kecil, tetapi peratusan keluar mengundi kurang. Jadi angka ini cukup meyakinkan. Ini gambaran kerjasama dalam kerajaan perpaduan dan ia telah diterima baik oleh masyarakat Johor khususnya.

“Beberapa faktor yang menyumbang kepada peratusan rendah itu termasuk ini hanya satu PRK, selain hujan lebat pada sebelah pagi,” katanya kepada pemberita selepas diumumkan sebagai pemenang PRK Parlimen Pulai di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini malam ini. 

Yang turut hadir, Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar.

Suhaizan yang juga Naib Pengerusi Amanah Johor turut memberitahu, kemenangan tersebut turut membuktikan gelombang Perikatan Nasional (PN) yang dikatakan sebelum ini tidak berlaku di Johor.

“Kemenangan ini bukti sokongan kuat kepada kita, bukan gelombang PN, di Johor itu tidak berlaku. Perkara ini kita telah terangkan kepada pengundi bahawa kepentingan memilih kestabilan kerajaan demi pembangunan ekonomi negara. Ini juga bukanlah undi simpati yang diberikan pengundi, sebaliknya sokongan kepada kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menepis serangan-serangan dibuat pembangkang terhadap dirinya sepanjang tempoh berkempen dan melihat perkara itu sebagai asam garam dalam politik.

“Perkara ini biasalah dalam politik, pasti akan ada ucapan-ucapan seperti itu. Tetapi saya mahu fokus terhadap tugas dan perkara pertama adalah untuk membolehkan peruntukan kepada Parlimen Pulai digunakan kembali buat manfaat rakyat selepas dibekukan sementara,” tambahnya.

Suhaizan yang mula bertanding sejak 2004 tidak pernah memenangi lima kerusi DUN dan satu kerusi Parlimen yang ditandingi beliau sebelum ini. Antara kerusi DUN yang pernah ditandingi beliau ialah di DUN Kempas, Pulai Sebatang dan Kukup, manakala kerusi Parlimen di Simpang Renggam. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya