PORT DICKSON: Kerajaan negeri dialu-alukan untuk memberikan kerjasama bagi membangunkan kawasan tanaman padi di negeri masing-masing sebagai langkah meningkatkan pengeluaran padi dan beras negara.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, isu padi dan beras yang berlaku masalah ketika ini bukanlah menjadi tanggungjawab satu pihak sahaja tetapi ia membabitkan seluruh negara termasuklah kerajaan Pusat dan kerajaan negeri.
Menurutnya, terdapat beberapa negeri yang kini telah dikenal pasti beberapa kawasan untuk dibangunkan lagi dengan tanaman padi antaranya di Sabah, Sarawak dan turut tidak ketinggalan kawasan sawah terbiar di Negeri Sembilan.
“Masalah sekuriti makanan ini, bukan tanggungjawab satu kementerian, sekarang sekurang-kurangnya lima kementerian berfikir masalah keterjaminan makanan, kerajaan negeri punya tanah, mereka mesti bekerjasama, tidak kiralah pembangkang atau pemerintah.
“Soal makanan, tiada orang ni perlu makana, pembangkang tidak perlu makan, pemerintah tidak perlu makan, ia semua perlu. Saya nampak Sabah, Sarawak dan di Kedah saya sebut tadi iaitu kita mahu meningkatkan sistem pengairan.
“Di Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), kita bantu sistem pengairan supaya dapat buat padi lima musim dua tahun. Tapi tidak bolehlah kita lancarkan tahun ini, tahun depan akan berjaya, ia akan ambil masa, infrastrukturnya mengambil masa sekurang-kurangnya tiga, empat tahun dari sekarang,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Konvensyen Himpunan dan Deklarasi Usahawan Agro Madani 2023 di Institut Latihan FAMA Port Dickson, di sini, hari ini.
Terdahulu, ketika berucap, Mohamad memberitahu, kawasan padi terbaik daripada segi perairan serta penjagaan di negara ini adalah di Sekinchan, Selangor yang mampu mengeluarkan hasil sekitar 10 hingga 12 tan bagi setiap hektar.
Menurutnya, kaedah serupa dibawa ke Perlis dan berjaya mengeluarkan hasil 11.4 tan bagi sehektar dan padi juga akan dituai pada 7 Oktober ini di Terengganu.
“Sekarang kita hanya mampu mengeluarkan sekitar 65 peratus padi dalam negara dan kita harus pastikan mencapai 100 peratus,” katanya selain memberitahu menetapkan sasaran tanaman padi air masin di Mersing, Johor menjelang tahun 2025.
Sementara itu, beliau memberitahu, Program Jualan Agro Madani yang dilaksanakan agensi di bawah kementeriannya itu, berjaya mencatatkan nilai jualan sebanyak RM43.5 juta di 2,282 lokasi seluruh negara yang membabitkan seramai 34,123 usahawan.
Jelasnya, sejak dimulakan pada 16 April lalu, program berkenaan juga sekaligus telah berjaya mencatatkan nilai penjimatan sebanyak RM13.05 juta kepada 4.56 juta isi rumah.–UTUSAN.