Kerajaan perkasa sektor kewangan Islam Malaysia  - Utusan Malaysia

Kerajaan perkasa sektor kewangan Islam Malaysia 

anwar
ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memperkasa sektor perbankan, takaful dan pasaran modal Islam bagi mengukuhkan kedudukan negara sebagai pusat kewangan Islam global.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar berkata, Malaysia harus menerokai dasar dan memperkenal instrumen kewangan Islam baharu. 

Menurut beliau, ini berdasarkan prinsip yang pernah diungkap oleh Imam al-Shatibi dalam al-Muwafaqat sebagai “al-nazar ilal ma’al,” atau menjangka akibat daripada dasar, produk, aset dan perkhidmatan.

“Pembangunan sektor kewangan Islam di negara ini bermula sebagai produk alternatif kepada sistem kewangan konvensional yang tertakluk kepada tatanan perbankan. 

“Pendekatan ini bagaimanapun telah membataskan pencapaian hasrat Maqasid Syariah kerana penekanan yang diberi sebatas prinsip penolakan riba, tanpa melihat objektif ekonomi Islam yang lebih menyeluruh, termasuk penegakan prinsip keadilan dan penyertaan rakyat yang lebih meluas,” katanya semasa membentangkan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat hari ini. 

Katanya, Malaysia akan menganjurkan Persidangan Antarabangsa mengenai Ekonomi dan Kewangan Islam (ICIEF2023) ke-15 pada Disember ini, bagi melanjutkan wacana yang mendasar mengenai sistem kewangan Islam.  

Menurut beliau, persidangan itu bagi mencerakinkan permasalahan yang ada dalam usaha Malaysia mempelopori peningkatan amalan sistem kewangan Islam yang menyeluruh.

“Selain itu, kerajaan akan mempergiat konsep Perantaraan Berasaskan Nilai (VBI) sebagai usaha memacu tumpuan baharu kepada penyelesaian dan pengurusan kewangan yang lebih mampan dan sejahtera. 

“Inisiatif ini adalah untuk menggalakkan lebih ramai pelabur runcit dan institusi agar turut serta di dalam industri pengurusan dana Islam. Usaha ini akan menyediakan lebih pilihan kepada pelabur dan rakyat untuk terlibat dalam kewangan Islam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya