Kerajaan Negeri Sembilan ambil langkah pulih bangunan bersejarah - Utusan Malaysia

Kerajaan Negeri Sembilan ambil langkah pulih bangunan bersejarah

BANGUNAN bekas Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan di Seremban telah siap dinaik taraf dan dipulihkan serta dijadikan sebagai pejabat Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan dan pejabat Setiausaha Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan telah dan akan terus mengambil langkah untuk memulihkan beberapa bangunan lama di bandar ini khususnya yang mempunyai nilai warisan sejarah termasuk yang telah dibina ketika era kolonial British.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Warisan, Teknologi, Inovasi dan Digital negeri, Datuk Mohd. Faizal Ramli berkata, antara bangunan yang terlibat adalah bangunan bekas Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan dan bangunan bekas Pejabat Daerah dan Jabatan Ukur.

“Bangunan bekas Pejabat Daerah dan Jabatan Ukur yang sebelum ini pernah dijadikan sebagai Kompleks Kraf Negeri Sembilan akan dinaik taraf dan dipulihkan dan bakal menjadi Galeri Seni Visual Negeri Sembilan.

“Ia masih dalam tindakan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan dalam peringkat permohonan peruntukan di bawah kerajaan negeri. Pada masa yang sama, permohonan penubuhan galeri ini juga telah dibawa ke Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk pembaikan dan pengisian,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

BANGUNAN bekas Pejabat Daerah dan Jabatan Ukur yang kini terbiar akan dipulihkan dan dijadikan sebagai Galeri Seni Visual Negeri Sembilan

Sementara itu, difahamkan, projek naik taraf bangunan bekas Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan yang juga dikenali sebagai ‘White House’ dan pernah menjadi Perpustakaan negeri telahpun berjaya disiapkan dan akan dijadikan sebagai pejabat Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan dan pejabat Setiausaha Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan.

Sebagai rekod, kedua-dua bangunan berkenaan telah didaftar sebagai Warisan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645).

Dalam pada itu, menurut Mohd. Faizal, beberapa buah lagi bangunan lain juga akan diteliti untuk turut sama melalui proses yang sama iaitu dipulihkan semula iaitu Bangunan Moi Kok Hong di Temiang dan bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) King George V, di sini.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN