PETALING JAYA: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abd. Halim membidas kenyataan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menggelar Kerajaan Perpaduan sebagai ‘NATO (No Action Talk Only)’.
Adam Adli berkata, tiga perkara dibangkitkan Ahli Parlimen Muar iaitu soal peruntukan buat pembangkang, pengisytiharan harta anggota Kabinet dan pengguguran kes rasuan yang sudah diperjelaskan menerusi pelbagai cara, sama ada di luar mahupun dalam Parlimen.
Kata beliau, Perdana Menteri juga sudah menjawab soal pengisytiharan harta, di mana Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan ketegasan beliau dan mengkritik amalan pengisytiharan sedia ada sebagai ‘sandiwara’ atau ‘gimik’ dengan seterusnya mengarahkan agar mekanisme yang lebih telus dan menyeluruh disiapkan.
“Tidak sekadar kenyataan media, ia disepakati menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) Siri 17 Bil. 1 Tahun 2023 yang dipengerusikan (oleh) Perdana Menteri sendiri, Julai lepas.
“Dua perkara lain pula (iaitu) pengguguran kes mahkamah yang tentu sekali saya yakin merujuk kepada kes Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) berbanding kes Pagoh telah dijawab dalam Parlimen hari ini secara terperinci oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman, ditandai dengan komitmen kerajaan hari ini untuk memisahkan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
“Malah isu melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri juga telah dibawa kepada perhatian Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, selain bakal dijawab sendiri oleh Perdana Menteri dalam dewan.
BERULANG KALI
“Di masa yang sama, dalam soal peruntukan buat pembangkang, sudah berulang kali dalam dewan diingatkan untuk mereka memulakan rundingan bersama kerajaan dalam soal tersebut, langkah yang sama dibuat oleh Pakatan Harapan dalam penggal yang lalu.
“Namun sehingga kini belum disambut dan hanya berulang kali digunakan sebagai modal untuk bercakar dalam persidangan Dewan Rakyat dan kemungkinan juga sebagai modal untuk membohongi rakyat di kawasan masing-masing seolah kerajaan ini zalim,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Syed Saddiq menggelar kerajaan dipimpin Anwar sebagai kerajaan hanya bercakap tetapi tidak ada tindakan atau NATO.
Adam Adli yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu menyarankan Syed Saddiq untuk tidak hanya ‘cerminkan’ perkara yang mengikut selera peribadi beliau.
“Cerminkan juga kepada dasar-dasar kebajikan rakyat yang dikemukakan menerusi Belanjawan 2023 yang lepas dan inisiatif yang sedang berjalan dalam menoktahkan kemiskinan tegar, menyelesaikan masalah dan keperluan asas rakyat.
“Termasuk sekolah dan fasiliti kesihatan, bekalan air bersih, pemulihan ekonomi pasca pandemik, dan transisi tenaga yang bakal bermula kelak,” katanya. – UTUSAN