KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan masih menunggu laporan rasmi daripada Perbadanan Stadium Kelantan (PSK) mengenai masalah kerosakan papan mata digital yang berlaku di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Badan bukan kerajaan (NGO) dan Perpaduan Masyarakat Negeri, Zamakhshari Muhamad berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan rasmi berkait masalah tersebut.
Menurutnya, laporan rasmi berkenaan diperlukan bagi membolehkan pihaknya meneliti langkah serta tindakan yang perlu diambil bagi membantu menyelesaikan masalah tersebut.
“Saya menyedari dan mengambil maklum mengenai masalah kerosakan papan mata digital itu terutama ketika menghadiri sambutan kemerdekaan dan menyaksikan perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV baru-baru ini.
“Mungkin selepas dapat laporan rasmi daripada PSNK kita akan meneliti kembali dana peruntukan untuk tahun ini. Jika masih ada kita akan bantu atasi masalah itu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Penutup Program Semarak Kemerdekaan: STEM @ Merdeka di Perpustakaan Awam Kelantan, di sini hari ini.
Sebelum ini peminat bola sepak Kelantan meluahkan rasa kecewa di laman sosial Facebook berkait dengan masalah papan mata digital yang sering mengalami kerosakan.-UTUSAN