SEREMBAN: Kerajaan akan bertindak sebagai pemudah cara antara majikan dan pekerja bagi memastikan kedua-dua pihak sama-sama menikmati kemajuan ekonomi negara.
Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim Chee Keong berkata, kerajaan akan mencari jalan supaya kepentingan kedua-dua pihak itu sentiasa seimbang yang menjadi kunci kepada pencapaian ekonomi.
Katanya, kerajaan akan membantu syarikat meningkatkan daya saing perniagaan dan berkongsi keuntungan itu dengan menaikkan gaji dan pekerja diberi sokongan meningkatkan produktiviti dan kemahiran tinggi.
“Terdapat kekhuatiran dalam kalangan majikan yang kata kalau gaji naik ia akan menaikkan kos perniagaan. Kita faham bahawa majikan perlu mencatat keuntungan supaya ia mampu menyediakan pekerjaan.
“Tetapi pada masa yang sama, pekerja juga perlu ditawarkan imbuhan seperti gaji lebih baik jika kita tidak mahu kehilangan bakat berkemahiran tinggi kepada pihak lain,” katanya kepada para pemberita selepas Jelajah Belanjawan 2024 Negeri Sembilan di sini hari ini.
Yang turut hadir, Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.
Steven menarik perhatian, persaingan yang dihadapi oleh majikan bagi mendapatkan bakat berkemahiran tinggi kini bukan sahaja dalam kalangan syarikat tempatan tetapi pelabur antarabangsa.
Jelasnya, jika tidak ditangani dengan betul, Malaysia akan kekurangan bakat berkemahiran tinggi yang boleh menjejaskan daya saing negara.
Lebih 150 wakil dari sektor awam, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hadir dalam sesi dialog hari ini.
Negeri Sembilan merupakan negeri yang keenam dalam sesi libat urus jelajah negeri bagi penyediaan Belanjawan 2024.
Steven memberitahu, kebanyakan isu yang dibangkitkan dalam sesi libat urus tersebut sehingga kini adalah berkaitan kemudahan infrastruktur seperti jalan raya, hospital dan sekolah.
Selain itu, beliau berkata, isu perusahaan kecil dan sederhana (SME) turut mendapat perhatian seperti kenaikan kos serta bantuan dan sokongan yang boleh ditawarkan oleh kerajaan. -UTUSAN.