Kementerian Pendidikan peruntuk RM300,000 kepada tiga sekolah di Pelangai - Utusan Malaysia

Kementerian Pendidikan peruntuk RM300,000 kepada tiga sekolah di Pelangai

LIM HUI Ying (tengah) beramah mesra dengan murid SJK (C) Telemong ketika lawatan kerja di sekolah itu di Pelangai, Bentong, Pahang. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Kementerian Pendidikan memperuntukkan RM300,000 kepada tiga buah Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil untuk projek Penyelenggaraan Institusi Pendidikan (PIP) dan Penyelenggaraan Sekolah Bantuan Kerajaan (SBK) di Pelangai di sini tahun ini.

Sekolah terbabit adalah SJK (C) Manchis, SJK (T) Ladang Renjok dan SJK (C) Telemong.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, peruntukan khas itu bagi penyelenggaraan tandas, bilik darjah dan kemudahan lain untuk keperluan warga sekolah yang lebih selesa.

“Dalam lawatan kerja ke tiga sekolah terbabit hari ini, pelaksanaan projek infrastruktur itu perlu disiapkan dalam tempoh tiga bulan daripada kelulusan projek kepada kontraktor.

“Kementerian Pendidikan akan sentiasa memastikan bangunan sekolah, peralatan sekolah dan persekitarannya sentiasa selamat, selesa, bersih dan ceria bagi mewujudkan iklim fizikal sekolah yang kondusif untuk proses pengajaran dan pembelajaran. Faktor itu boleh meningkatkan motivasi warga sekolah bagi mencapai kecemerlangan dalam semua aspek, kurikulum dan kokurikulum,” katanya kepada pemberita di Dewan SJK (C) Telemong di sini.

Hui Ying berkata, SJK (T) Ladang Renjok diluluskan RM100,000 bagi menaiktaraf kemudahan asas seperti bilik darjah, tandas dan lain-lain.

“SJK (C) Manchis memperolehi RM100,000 membabitkan RM70,000 untuk menaik taraf tandas dan RM30,000 untuk menaik taraf pagar sekolah dan gelanggang tertutup bola keranjang. SJK (C) Telemong juga mendapat RM100,000 merangkumi RM70,000 menaik taraf tandas dan RM30,000 memperbaiki salur air pada bumbung bangunan,” katanya.

Tegasnya, Kementerian Pendidikan sentiasa komited terhadap isu-isu yang berlaku di sekolah antaranya penyelenggaraan infrastruktur yang secara langsung akan memberi kesan terhadap keselamatan dan keselesaan murid serta guru.

Beliau turut memberi jaminan bahawa Kementerian Pendidikan tidak akan meminggirkan kebajikan SBK dalam aspek bantuan penyelenggaraan berdasarkan Garis Panduan Pengurusan Sumbangan Bantuan SBK Tahun 2021 dan Tatacara Pengurusan Sumbangan Bantuan SBK Tahun 2023.

Tambah beliau, kementerian itu juga komited menyokong hasrat kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan merangka konsep Madani ke dalam sistem pendidikan negara.

“Oleh itu, Kementerian Pendidikan sedang mewujudkan satu sistem pendidikan bertaraf dunia yang akan memberi pendidikan yang berkualiti, beretika, adil dan holistik kepada anak-anak kita supaya mereka dapat membesar dan menjadi insan yang berilmu dan berguna kepada bangsa, agama dan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya