REMBAU: Pengaruh dan sokongan daripada keluarga memainkan peranan penting dua orang murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tanjong, di sini, apabila kedua-duanya terpilih sebagai Tokoh Nilam Daerah Rembau bagi kategori Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris sekolah rendah.
Bagi Tokoh Nilam Kategori Bahasa Inggeris Sekolah Rendah (BISR), Afina Azmil, 11, berkata, seawal usianya lima tahun, dia sudah mula gemar membaca buku apabila sering melihat bapanya, Azmil Azif, 39, yang membaca buku setiap kali ada masa terluang.
Menurutnya, hobi membaca buku berkenaan juga menyebabkan dia tidak gemar menghabiskan masa dengan bermain telefon pintar.
“Saya gemar baca buku berkenaan pengembaraan antaranya Wishing Spell yang ditulis oleh Chris Colfer. Buku tersebut banyak memberi ilham kepada saya untuk lebih kreatif dalam menyelesaikan sesuatu perkara.
“Saya juga percaya, buku sangat relevan buat semua golongan lapisan masyarakat dari pelbagai peringkat umur mempelajari sesuatu perkara. Kalau tidak tahu pasal sains, mereka boleh membaca buku fiksyen sains,” katanya ketika ditemui di SK Kampung Tanjong, di sini, hari ini.
Menurut Afina, dia sudah pun membaca kira-kira 700 buah buku dan minat membacanya itu juga membantunya dalam menguasai Bahasa Inggeris.
“Ia terutamanya untuk menambah kosa kata baharu yang kemudiannya saya rujuk dalam kamus maksud perkataan tersebut. Secara tidak langsung melalui pembacaan ini juga kita dapat meningkatkan kebolehan berbahasa selain Bahasa Melayu,” katanya lagi.
Sementara itu, bagi Tokoh Nilam Kategori Bahasa Melayu Sekolah Rendah (BMSR), Nur Hani Marizza Zulhelmi, 11, berkata, bapa saudaranya iaitu, Khairul Anuar Yahya, 43, yang merupakan seorang wartawan dan penulis banyak memberikannya hadiah berupa buku buatnya sejak kecil lagi.
Malah menurutnya lagi, seawal usia lima tahun, dia sudah mula gemar membaca sebelum tidur dan kini beliau gemar membaca buku yang lebih berkonsepkan falsafah seperti buku terjemahan bertajuk Ahli alkimia oleh penulis Brazil, Paulo Coelhho.
“Kisah seorang kanak-kanak pengembara kambing dalam mencapai impiannya sangat memberi inspirasi kepada saya. Saya mahu jadi peguam, jadi saya tidak boleh cepat berputus asa.
“Buku-buku seperti ini antara 600 buah buku yang banyak membantu menjadikan saya lebih berpengetahuan. Ada juga rakan-rakan saya yang menjadikan saya seperti perpustakaan bergerak untuk mengetahui sesuatu kisah,” katanya.-UTUSAN.