Jurutera perkapalan dituduh bunuh penjawat awam

Jurutera perkapalan dituduh bunuh penjawat awam

TERTUDUH (tengah) diiringi polis semasa tiba di Mahkamah Majistret Tanah Merah, Kelantan hari ini-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANAH MERAH : Seorang jurutera perkapalan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh penjawat awam pada 3 September lalu.

Tertuduh, Harun Narresat Ibrahim, 46, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nik Habri Muhamad.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang hadir ke mahkamah dengan memakai baju lokap berwarna ungu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Tuan Mohd. Salleh Tuan Ibrahim, 51, di sebuah kedai makan di hadapan Hospital Machang Jalan Pasir Puteh Lama Machang kira-kira pukul 11.30 pagi pada 3 September lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun hingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah juga dihukum sebat tidak kurang daripada 12 sebatan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Kelantan, Muhammad Zaki Abdul Kudos manakala tertuduh diwakili peguam Tengku Shazuan Tg Shariffudin.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 13 November ini sementara menunggu laporan kimia sebelum kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kota Bharu.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, seorang penjawat awam maut selepas bertumbuk dengan seorang lelaki apabila dia dipercayai mengganggu isteri orang dalam kejadian depan sebuah premis di simpang empat, Kampung Sungai Hala, Machang.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.50 pagi itu, lelaki berusia 51 tahun itu meninggal dunia di Hospital Machang di sini selepas mengalami kecederaan parah pada beberapa bahagian anggota badan.

Difahamkan, mangsa bertugas satu pejabat dengan isteri suspek yang terlibat dalam kes tersebut.-UTUSAN


 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN