Jualan Agro Madani mudahkan rakyat beli beras - Utusan Malaysia

Jualan Agro Madani mudahkan rakyat beli beras

ORANG ramai beratur untuk membeli beras tempatan seberat 10 kg dan seekor ayam sempena Jualan Agro Madani di Pasar Tani Kekal, Jalan Datin Halimah, Larkin Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pelbagai usaha dilaksanakan termasuk mengadakan Jualan Agro Madani memberi kelegaan kepada rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah mendapatkan barangan keperluan asas, termasuk beras tempatan yang agak sukar diperoleh pada masa ini.

Seorang pesara, Azhar Abdul Wahab, 74, mengakui harga ditetapkan sebanyak RM27 bagi sekampit beras 10 kilogram (kg) dan seekor ayam  dapat membantu meringankan beban dalam menyediakan keperluan harian bagi keluarganya.

Bulan lalu dia terpaksa membeli beras import yang dijual pada harga lebih mahal, iaitu RM39 sekampit apabila sukar mendapatkan bekalan beras tempatan.

“Saya sudah cari di beberapa lokasi termasuk kedai runcit dan pasar raya di sekitar Tampoi untuk mencari beras tempatan, tetapi tidak jumpa. Alhamdulillah, rezeki hari ini apabila dapat beli beras dengan harga RM27, malah turut dapat seekor ayam,” katanya ditemui pada Jualan Agro Madani di Pasar Tani Kekal Jalan Datin Halimah, di sini hari ini.

Seorang suri rumah, Hafizah Hassan, 35, pula berharap Jualan Agro Madani itu dapat diteruskan dan dilaksanakan lebih kerap bagi membantu masyarakat mendapatkan bekalan beras tempatan.

“Untuk keluarga saya, beras 10 kilogram boleh tahan sebulan. Jadi, Alhamdulillah saya dapat peluang ini untuk beli beras dan ayam seekor pada harga hanya RM27 sebab dalam pasaran paling murah saya jumpa kira-kira RM39 sekampit,” katanya.

Menerusi pelan intervensi beras yang dilaksanakan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), sebanyak 30,000 metrik tan beras putih tempatan diedar ke empat pusat operasi FAMA seluruh negeri ini, iaitu di Johor Bahru, Tangkak, Simpang Renggam dan Batu Pahat.

Selain itu, FAMA juga akan membuat jualan terus kepada 39 outlet peruncitan membabitkan 21 Agrobazaar Kedai Rakyat, 13 Agrobazaar Rakyat dan lima pasar tani kekal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya