SEREMBAN: Seramai 1,701 individu dikesan menunggang motosikal tanpa memiliki lesen sepanjang tempoh 17 hari penguatkuasaan Op Khas Motosikal yang dilaksanakan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Negeri Sembilan sejak 1 September lalu.
Pengarah JPJ negeri, Hanif Yusabra Yusuf berkata, kesalahan kedua tertinggi yang dikesan pula adalah melibatkan Seksyen 23 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana lesen kenderaan motor (LKM) yang tamat tempoh yang membabitkan 1,336 kesalahan.
Menurutnya, kesalahan ketiga pula adalah di bawah Seksyen 90 (1) kerana tiada perlindungan insurans membabitkan 1,251 kesalahan.
“Kesalahan-kesalahan ini boleh dikenakan tindakan sita di bawah Seksyen 64 (1) APJ 1987 yang mana bertujuan bagi mengenal pasti identiti pemandu, identiti kenderaan atau untuk memberhentikan sesuatu kesalahan daripada berterusan.
“Kenderaan yang disita oleh JPJ boleh dituntut atau dilepaskan apabila identiti pemandu atau kenderaan dikenal pasti, kesalahan yang dilakukan telah diberhentikan atau dilepaskan oleh mahkamah,” katanya.
Jelas Hanif Yusabra lagi, secara keseluruhannya, sebanyak 5,350 kesalahan dikesan di negeri ini dalam tempoh yang sama termasuk 250 kesalahan ubah suai dan 34 kesalahan membabitkan individu memandu bawah umur.
“Bagi Op Khas Motosikal ini juga, sebanyak 11,168 kenderaan telah diperiksa di mana 2,226 daripadanya telah diambil tindakan termasuk 668 motosikal telah disita,” katanya yang turut menasihatkan orang ramai untuk sentiasa memastikan bahawa kenderaan mereka mempunyai perindungan insurans yang sah dan LKM berada dalam tempoh sah laku.
Jelasnya, kepentingan memiliki perlindungan insurans dititikberatkan bagi mengelakkan kerugian yang besar kepada harta dan nyawa termasuk pihak ketiga sekiranya sebarang kecelakaan kemalangan berlaku.-UTUSAN.