Johor terima 80 tan beras, bantu tangani kekurangan bekalan - Utusan Malaysia

Johor terima 80 tan beras, bantu tangani kekurangan bekalan

ZAHARI SARIP (dua kanan) bertanya tentang sistem akuaponik yang digunakan pengusaha semasa merasmikan Kursus Peningkatan Ekonomi Madani Peladangnita Negeri Johor 2023, di Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Negeri ini menerima tambahan bekalan beras putih tempatan sebanyak 80 tan bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan sejak kebelakangan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Zahari Sarip memberitahu, bekalan tersebut disampaikan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ) secara berperingkat-peringkat bermula semalam hingga akhir minggu ini.

“Memang kita hadapi sedikit cabaran, tentang bekalan beras. Kerajaan negeri sedang susun program untuk bantu rakyat, kita akan lihat apa yang dijalankan Pusat kemudian disambung kerajaan negeri. Sebagai langkah intervensi beras, sebanyak 80 tan bekalan beras putih tempatan akan dibekal ke seluruh negeri menerusi empat pusat pengumpulan, iaitu di Johor Bahru, Simpang Renggam, Batu Pahat dan Tangkak.

“Bekalan tersebut akan diedar ke seluruh negeri, sebagai contoh pusat pengumpulan di Tangkak akan edar ke Muar dan Segamat, manakala Johor Bahru akan edar ke selatan negeri ini,” katanya selepas merasmikan Kursus Peningkatan Ekonomi Madani Peladangnita Negeri Johor 2023 di Lembaga Pertubuhan Peladang, di sini hari ini.

Zahari berkata, kerajaan negeri juga sedang merancang pelbagai usaha lain bagi memastikan masalah bekalan beras tempatan tidak berpanjangan khususnya di negeri ini.

“Kita akan melihat keberkesanan langkah intervensi yang dilakukan kerajaan Pusat dan sekiranya terbukti berkesan, kerajaan negeri akan turut bantu,” katanya.

Sementara itu, Zahari memaklumkan terdapat seramai 900 pesawah di negeri ini di 10 lokasi merangkumi sawah seluas 2,254 hektar.

“Daerah berkenaan adalah Tangkak dengan keluasan 842.97 hektar, Muar (364.22), Mersing (549.38), Batu Pahat (141.70) dan Kluang (356.12). Bagi musim menuai antara 2021 hingga 2022, Johor mengeluarkan 6,225 tan metrik padi, peningkatan sebanyak 30.1 peratus berbanding musim menuai tahun sebelumnya,” katanya.

“Walaupun sawah di Johor dikategori sebagai di luar jelapang, kerajaan negeri tetap fokus menjalankan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan produktiviti pengeluarannya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya