JKKN angkat identiti negeri-negeri sempena TMM 2026 - Utusan Malaysia

JKKN angkat identiti negeri-negeri sempena TMM 2026

NICOLE Tan Lee Koon (dua dari kiri) dan Mohd. Amran pada Majlis Perasmian Festival Merakyatkan Seni Budaya Olek Godang Seni Budaya di Ladang Alam Warisan, Seri Menanti, Kuala Pilah hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Kesemua identiti negeri-negeri yang terdapat dalam negara ini akan diangkat dan ditonjolkan menjelang dan sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.

Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Mohd. Amran Mohd. Haris berkata, itu komitmen yang akan diberikan pihaknya selepas melihat pengisian program seni budaya negeri-negeri mampu menjadi tarikan utama kepada pelancong.

Sehubungan itu, jelasnya, gerak kerja bagi mempromosi dan menyediakan kandungan menarik seni budaya itu akan dilakukan bermula tahun depan membabitkan kerjasama antara JKKN dan juga kerajaan negeri.

“Setiap negeri ada identiti masing-masing, kalau di Negeri Sembilan, kita ada Olek Godang (kenduri besar-besaran) sebagai tunjang pelaksanaan program dan pengisian sampingan pula tarian randai, bongai dan cak lempong.

“Di Perlis pula ada Pesta Angin Timur yang menjadikan sawah padi sebagai tempat pesta. Banyak program atau aktiviti masyarakat setempat selepas musim menuai dapat diadakan semasa pesta ini. 

“Apabila pelancong datang, mereka inginkan sesuatu yang unik dan pengalaman yang tidak dapat di tempat lain seperti kesenian budaya di Malaysia,” katanya pada Majlis Perasmian Festival Merakyatkan Seni Budaya Olek Godang Seni Budaya di Ladang Alam Warisan, Seri Menanti, di sini, hari ini.

Terdahulu, dalam ucapannya, Mohd. Amran memberitahu, bagi memastikan ekosistem kesenian dan kebudayaan di negara ini terus kekal berdaya saing Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK 2023) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya telah diteruskan 

“Sehingga 15 September lalu, sebanyak 400 permohonan telah mendapat kelulusan di bawah Jawatankuasa Panel Pelulus Geran Sokongan Sektor Kebudayaan dengan jumlah RM25 Juta,” katanya lagi.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Nicole Tan Lee Koon berkata, Festival Merakyatkan Seni Budaya Olek Godang Seni Budaya itu dianjurkan selama tiga hari.

“Pelbagai aktiviti seni budaya diadakan antaranya seperti pertandingan masakan tradisional enam luak dan pertandingan memanah tradisional.

“Program ini sangat bagus kerana mengetengahkan keunikan Negeri Sembilan sebagai satu-satunya negeri yang mengamalkan Adat Perpatih. Program ini perlu diteruskan bagi mendedahkan generasi muda terhadap warisan dan keunikan budaya mereka sendiri.

Dalam pada itu, pihaknya turut berhasrat untuk melaksanakan inisiatif Seni@n9 bagi memartabatkan seni budaya di negeri ini.

“Inisiatif ini merangkumi penceritaan, penulisan, tarian dan pakaian adat, ia memerlukan dana yang besar. Kami juga berhasrat untuk memperkenalkan tarian randai di kesemua sekolah di negeri ini di bawah inisiatif ini,” katanya lagi.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya