TUMPAT: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sedang menjalankan kajian untuk membenarkan pas sempadan dibuat di satu lokasi sahaja di setiap negeri yang bersempadan dengan negara jiran.
Ketua Pengarahnya Datuk Ruslin Jusoh berkata, hasil kajian itu akan dijadikan sebagai panduan sebelum membuat sebarang pertimbangan mengenai langkah tersebut.
“Buat masa ini, kita (JIM) sedang mengumpulkan data-data terlebih dahulu untuk melihat keberkesanan perubahan dari segi operasi dan sebagainya.
“Pada masa sama, kita turut mengenalpasti senarai individu yang kerap memohon pas sempadan dan lain-lain lagi,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di sempadan Malaysia-Thailand di Sungai Golok, Pengkalan Kubor di sini hari ini bersama Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun.
Dalam perkembangan lain, Ruslin memberitahu, masalah kekurangan buku pas sempadan yang membelenggu rakyat negeri ini sudah selesai sepenuhnya sejak minggu lalu.
Katanya, selain Kelantan buku tersebut sudah diedarkan ke tiga lagi negeri yang bersempadan dengan Thailand iaitu Perlis, Kedah dan sebahagian Perak.
“Jadi orang ramai boleh memohon pas sempadan di kawasan masing-masing,” ujarnya.-UTUSAN