KUALA PILAH: Jenazah bekas Tunku Ampuan Negeri Sembilan, Tunku Ampuan Najihah Almarhum Tunku Besar Burhanuddin yang mangkat pagi tadi selamat dimakamkan di Makam Diraja Seri Menanti, di sini, kira-kira pukul 6.37 petang tadi.
Jenazah baginda dimakamkan bersebelahan makam bekas Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Almarhum Tuanku Ja’afar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman yang juga Yang di-Pertuan Agong Ke-10.
Terdahulu, Tunku Ampuan Najihah yang juga bekas Raja Permaisuri Agong itu mangkat pada usia 100 tahun di Hospital Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur, di sini pada 6.53 pagi tadi.
Van membawa jenazah Almarhumah Tunku Ampuan Najihah tiba di Istana Besar Seri Menanti di sini dari ibu negara pada pukul 1.20 tengah hari tadi.
Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud turut berangkat memberi penghormatan terakhir kepada Almarhumah.
Antara pemimpin yang turut hadir memberi penghormatan terakhir ialah isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan.
Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Amran Awaludin kemudiannya turut mengimamkan solat Asar dan solat jenazah kepada Almarhumah Tunku Ampuan Najihah.
Kemudiannya, jenazah Almarhumah seterusnya dibawa ke Makam Diraja Seri Menanti dengan pedati Diraja dengan pergerakan dari Istana Besar Seri Menanti sambil diiringi 16 das tembakan Gun Salute oleh 41 Rejimen Artileri Diraja (RAD).-UTUSAN.