JAS N. Sembilan lakukan penguatkuasaan, kesan aktiviti pembakaran terbuka - Utusan Malaysia

JAS N. Sembilan lakukan penguatkuasaan, kesan aktiviti pembakaran terbuka

SERAMAI 461 orang sukarelawan menyertai aktiviti pembersihan pantai sempena Majlis Sambutan Hari Ozon Sedunia Peringkat Negeri Sembilan Tahun 2023 yang diadakan di Pantai Saujana, Port Dickson, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan menerusi rondaan penguatkuasaan yang dijalankan akan memastikan tiada sebarang aktiviti pembakaran terbuka dijalankan mana-mana pihak dan individu di negeri ini.

Pengarahnya, Hamzah Mohamad berkata, rondaan yang turut dijalankan bersama bomba dan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu juga susulan beberapa kawasan di negeri ini telah mencatatkan bacaan indeks pencemaran udara tidak sihat dan sederhana sejak kebelakangan ini.

“Saya menyeru masyarakat supaya tidak melakukan apa-apa aktiviti pembakaran terbuka khususnya pada masa ini, sekiranya kami dapati ada yang melakukan pembakaran terbuka, kami boleh ambil tindakan di bawah Seksyen 29 A Akta Kualiti Alam Sekeliling dan kompaun sebanyak RM2,000 boleh dikeluarkan kepada mana-mana individu yang melakukan pembakaran terbuka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Sambutan Hari Ozon Sedunia Peringkat Negeri Sembilan Tahun 2023 di Pantai Saujana di sini hari ini.

Majlis telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan, S. Veerapan.

Sementara itu, berdasarkan bacaan IPU pagi tadi menyaksikan kawasaan Nilai merekodkan bacaan tidak sihat iaitu 105 setakat pukul 11 pagi tadi.

Bagaimanapun pada pukul 12 tengah hari, bacaan bagi stesen Nilai berubah kepada sederhana iaitu 99. Dua kawasan lain iaitu Port Dickson dan Seremban turut mencatatkan bacaan IPU sederhana.

Dalam pada itu, Hamzah berkata, pihaknya mengesan terdapat peningkatan pada bacaan IPU di negeri ini pada minggu ini.

“Kami memantau bacaan IPU pada setiap hari dan setiap jam, kami mengesan peningkatan agak ketara pada minggu ini, pada dua minggu lepas, kami lihat ia pada paras agak baik namun telah bertukar pada tahap tidak sihat, jadi peningkatan telah berlaku,” katanya.

Sementara itu, Veerapan memberitahu, seramai 461 orang peserta dan sukarelawan telah mengambil bahagian pada pada program tersebut termasuk bagi aktiviti pembersihan pantai.

“Sambutan Hari Ozon Sedunia Peringkat Negeri Sembilan diadakan bersama dengan sambutan World Clean Up Day, dengan adanya sambutan seperti ini, orang awam diharap dapat memahami kepentingan menjaga kebersihan persekitaran, menguruskan sampah dengan baik.

“Ini kerana kesan tidak langsung daripada aktiviti penguraian sampah yang bebaskan gas metana, boleh beri kesan tidak langsung kepada pemanasan global dan juga penipisan lapisan ozon,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya