Jangan manipulasi keputusan Mahkamah Tinggi terhadap Ahmad Zahid - Mohd. Sharkar - Utusan Malaysia

Jangan manipulasi keputusan Mahkamah Tinggi terhadap Ahmad Zahid – Mohd. Sharkar

MOHD. SHARKAR SHAMSUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Mana-mana pihak diharap tidak memanipulasi keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang melepas tanpa membebaskan (DNAA) Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, Timbalan Perdana Menteri sudah pun menggunakan sepenuhnya proses perundangan negara.

“Keputusan itu jelas membuktikan bahawa Ahmad Zahid sudah menggunakan sepenuhnya proses perundangan dan berharap keputusan tersebut tidak dimanipulasi oleh mana-mana pihak kerana presiden parti telah menggunakan segala saluran yang ada di negara ini.

“Kita penuh yakin dengan sistem yang ada dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak dan berharap seluruh ahli parti teguh di belakang presiden dalam usaha memperkasakan lagi parti menempuh segala cabaran di hadapan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Selepas 77 hari dibicarakan, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini melepas tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Jabatan Peguam Negara (AGC) agar prosiding perbicaraan diberhentikan bagi kesemua pertuduhan terhadap Timbalan Perdana Menteri.

Mahkamah turut menolak permohonan pasukan pembelaan agar Ahmad Zahid dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan-pertuduhan yang dihadapinya.

Presiden UMNO itu dihadapkan ke mahkamah pada 2018 manakala perbicaraan bermula pada 2019 dengan mendengar keterangan 99 saksi pendakwaan.

Ahmad Zahid, 70, didakwa atas 47 pertuduhan iaitu lapan rasuah, 12 pecah amanah dan 27 pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang mana beliau adalah pengasasnya.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu didakwa atas 12 pertuduhan pecah amanah iaitu menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Mengulas lanjut, Mohd. Sharkar berkata, keputusan itu juga menjelaskan kepada masyarakat umum bagaimana Presiden UMNO tersebut berdepan segala pendakwaan sejurus selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 yang lalu.

Akhirnya beliau berkata, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membuat keputusan yang memihak kepada Ahmad Zahid seperti mana keputusan diputuskan di Mahkamah Tinggi Shah Alam beberapa bulan lalu.

“Mahkamah yang sama sebelum ini turut membuat keputusan membebaskan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung pendakwaan yang dihadapi berkaitan empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk rasuah berjumlah RM232.5 juta bagi parti itu.

“Apa pun alhamdulillah, inilah masanya untuk kita seluruh ahli parti pelbagai peringkat berganding bahu melangkah ke depan. Presiden hari ini telah melalui satu proses yang cukup panjang dalam usaha mempertahankan diri dan juga maruah beliau.

“Sebagai ahli dan pimpinan parti kita perlu bersama-sama bersolidariti bersama presiden…saya percaya ranjau dan onak sentiasa menanti kita di depan apatah lagi beberapa hari sahaja lagi kita akan menempuh hari pengundian Pilihan Raya kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram dan pada bulan depan pula PRK DUN Pelangai. Insya-Allah kita mampu menempuhnya,” tambahnya.

Untuk rekod, sebelum ini Ahmad Zahid dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam atas 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Memetik laporan, Hakim Datuk Mohd. Yazid Mustafa membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kesemua pertuduhan di akhir kes pendakwaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN