Jala buah pinang cipta kelainan sambutan Hari Malaysia Felda Jengka 24 - Utusan Malaysia

Jala buah pinang cipta kelainan sambutan Hari Malaysia Felda Jengka 24

SEORANG peserta menebar jala pada acara menjala buah pinang sempena sambutan Hari Malaysia di Felda Jengka 24 di Jerantut, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Acara jala buah pinang bukan sahaja unik dan mencipta kelainan malah memeriahkan sambutan Hari Malaysia Felda Jengka 24 di sini pada Sabtu lalu.

Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud berkata, acara itu pertama kali diadakan sempena sambutan tersebut dan ideanya diperoleh secara spontan.

“Buah pinang kita peroleh dari kampung berdekatan tanah rancangan ini. Seramai 50 peserta menyertainya termasuk lima wanita.

“Agak sukar untuk setiap peserta menjala buah pinang. Ia memerlukan kemahiran dan kepakaran tersendiri bagi memperoleh hasil yang banyak.

“Paling banyak buah pinang berjaya dijala adalah sebanyak 100 biji oleh peneroka dari Blok 13 di sin sekali gus muncul juara bagi acara yang unik ini. Lain-lain peserta tidak sampai 40 biji pun,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Razak dalam pada itu berkata, lebih 1,000 penduduk Felda Jengka 24 meraikan program sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, pada Sabtu lalu.

RAZAK Daud (belakang, empat dari kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan memasang Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia di Felda Jengka 24 di Jerantut, Pahang.

Menurutnya, selain pertandingan memasang bendera sempena Hari Kebangsaan, turut diadakan sukaneka antara blok di tanah rancangan itu.

Katanya, sambutan itu mendapat sambutan menggalakkan dan kerjasama antara penduduk, Majlis Belia Felda Malaysia, Gerakan Persatuan Wanita (GPW), pengurusan Felda, ketua-ketua blok dan semua ahli blok Felda Jengka 24.

“Paling melucukan acara sukaneka menjala di atas padang kerana ramai yang tidak mahir menjala dan terdapat jala tidak kembang dan tidak dapat ‘menangkap’ buah pinang.

“Namun, penyertaan semua penduduk di Felda Jengka 24 berjaya menyatukan penduduk dan ikatan kekeluargaan yang erat,” katanya.

Beliau berkata, turut ditayangkan wayang pacak filem Mat Kilau bagi menggembalikan kenangan peneroka di awal penyertaan mereka di tanah rancangan terbabit.

Sementara itu, blok sembilan muncul juara pertandingan memasang bendera terbaik, manakala, tempat kedua dimenangi blok tiga dan tempat ketiga blok empat.

Majlis penutupan program sukaneka sempena Sambutan Hari Malaysia Felda Jengka 24 disempurnakan oleh Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Damak, Haris Salleh Hamzah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya