JOHOR BAHRU: Penganjur program berskala besar dan bertaraf antarabangsa seharusnya lebih profesional dan bijak dalam mengendalikan sebarang isu dan situasi bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, kegagalan berbuat demikian seperti yang berlaku dalam program Desaru International Bike Week (DIBW) 2023 kelmarin menyebabkan imej baik Malaysia tercalar.
Beliau berkata, perkara seperti itu tidak seharusnya berlaku dan pihak penganjur perlu mengambil tanggungjawab terhadap insiden yang menjadi tular dalam media sosial itu.
“Saya masih belum menerima laporan lanjut tentang isu itu. Bagaimanapun saya berpandangan mana-mana penganjur perlu peka dengan insiden yang berlaku sepanjang penganjuran dan menanganinya secara berhemah.
“Kita tidak mahu timbul masalah sampai tercetus pergaduhan, baling kerusi, bertumbuk dan macam-macam lagi sehingga menyebabkan situasi bertukar kecoh.
“Insiden yang tular ini menjejaskan imej dan nama baik negara, terutamanya bagi penganjuran program bertaraf antarabangsa seperti ini,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Penghargaan Petugas Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram di Hotel Thistle, malam tadi.
Yang turut hadir ialah Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamed Sabu dan Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan.
Semalam, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, polis menahan dua lelaki berusia 50 dan 30 tahun bagi membantu siasatan berhubung kejadian insiden rusuhan semasa program DIBW 2023 di Pantai Awam Desaru, Kota Tinggi.
Siasatan awal mendapati punca kejadian akibat berlakunya salah faham antara kumpulan penunggang motosikal tempatan dan kumpulan penunggang motosikal dari Amerika Syarikat.
Mengulas lanjut, King Sing berkata, kementeriannya tidak akan campur tangan tentang perkara itu dan menyerahkan kepada pihak polis untuk melakukan tindakan selanjutnya.
“Kita tidak merancang untuk memanggil penganjur program tersebut setelah ia bukanlah program di bawah kementerian, cuma ingin mengingatkan kepada penganjur supaya tidak terlepas pandang isu sebegitu,” katanya. – UTUSAN