KOTA BHARU: Inisiatif Madani Serantau (IMAR) menyasarkan perolehan sebanyak RM4.6 bilion dalam tempoh tiga tahun menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) Pemadanan Perdagangan bersama 50 wakil daripada lima negara.
Pengerusinya, Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, MoU bermula tahun ini itu membabitkan badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat dari Malaysia, Thailand, Bangladesh, Indonesia dan Kemboja.
Menurutnya, usaha itu bertujuan meneroka peluang perdagangan sempadan yang berpotensi dalam pelbagai sektor.
“Usaha mengembang dan meningkatkan ekonomi sempadan Malaysia-Thailand dan beberapa negara berdekatan sedang digerakkan.
“Untuk itu, kita akan menyerahkan MoU ini akan diserahkan kepada pemimpin tertinggi negara yang terlibat pada minggu hadapan untuk dipertimbangkan pelaksanaanya,”katanya pada sidang akhbar selepas Sidang Perdagangan Sempadan Malaysia – Thailand di sini hari ini.
Mohd. Azmi memberitahu, pihaknya yakin banyak penambahan yang boleh diusahakan dalam membangun ekonomi sempadan serta mewujudkan zon ekonomi sempadan yang maju.
Katanya, mekanisme perdagangan sempadan perlu dirangka secara jelas dan inklusif termasuk membincangkan pelbagai perkara penting termasuk sektor-sektor yang akan diterokai.
“Kita turut membincangkan isu prosedur import eksport antara negara dari sudut peraturan dan undang- undang negara masing-masing.
“Selain itu, antara sektor yang akan diterokai adalah produk pertanian , industri minuman dan makanan , keterjaminan makanan , industri tenaga hijau dan tenaga perbaharui , produk halal , produk laut dan sebagainya,” ujarnya.
Mohd. Azmi berkata, pihaknya juga akan mengusulkan supaya sebuah dewan perniagaan sempadan Malaysia- Thailand diwujudkan di bawah IMAR agar dapat memperkuatkan rangkaian perdagangan dalam pelbagai sektor.-UTUSAN