SEREMBAN: Sambutan Hari Malaysia 2023 di Hospital Pakar KPJ Seremban disambut meriah dengan kelahiran seorang bayi perempuan hari ini.
Anak ketiga kepada pasangan suami isteri, Muhamad Mafuz Mohd. Nor, 38, dan Siti Nur Aisha Abd. Malek, 42, yang diberi nama Siti Nur Aisha itu seberat 2.93 kilogram dan dilahirkan secara normal pada pukul 4.08 pagi.
“Saya bersyukur kerana isteri telah selamat melahirkan bayi ketiga kami dan kami tidak sabar untuk pulang dan meraikan bersama keluarga tercinta.
“Terima kasih kepada doktor dan semua staf di KPJ Seremban yang telah memberikan perkhidmatan yang terbaik di samping meraikan kelahiran bayi kami dalam suasana hari Malaysia yang begitu meriah,” kata Mahfuz kepada pemberita hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KPJ Seremban, Nur Aidli Ikram Muhamad berkata, sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-66 dan Hari Malaysia 2023, pihaknya turut mengadakan program menonton wayang bagi filem Mallbat Misi Bakara yang kini sedang ditayangkan di pawagam.
Jelasnya, program berkenaan diadakan bersama pelanggan korporat, media dan rakan strategik KPJ Seremban.
“Filem Mallbat Misi Bakara yang dipilih bertujuan menyebarkan semangat kemerdekaan disamping menambah baik hubungan rangkaian sedia ada.
“Program ini juga bertujuan menjalin hubungan yang lebih erat antara pengurusan hospital dan doktor pakar dengan wakil syarikat-syarikat korporat, media dan rakan strategik KPJ Seremban,” katanya.-UTUSAN.