KUALA PILAH: Seekor harimau kumbang berjaya ditangkap selepas masuk ke dalam perangkap yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan di Kampung Beting Ulu di sini pagi tadi.
Perangkap itu dipasang sejak dua minggu lalu selepas menerima aduan daripada sebuah keluarga berkenaan kehadiran haiwan tersebut di kawasan rumah mereka.
Rusmazaiti Kamarulzaman, 31, berkata, dia dan suaminya, Abdul Mizan Mohd. Haris, 42, terdengar bunyi pelik dari luar rumah kira-kira pukul 3 pagi tadi dan terus melihat ke arah luar rumah.
Menurutnya, apabila dilihat, seekor harimau kumbang telah masuk ke dalam perangkap tersebut yang telah diletakkan umpan tiga ekor anak anjing selama hampir seminggu.
“Pagi tadi ketika keadaan masih gelap, saya ingat kecil sahaja, rupa-rupanya apabila sudah cerah harimau kumbang itu bersaiz agak besar. Saya lega harimau kumbang ini berjaya masuk ke dalam perangkap.
“Bagaimanapun, sebelum ini ada banyak kesan tapak kaki haiwan dan dipercayai lebih dari seekor harimau kumbang berkeliaran di sini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan Negeri Sembilan Nurul Ermi Ramli ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.
Jelasnya, doktor veterinar akan memeriksa keadaan harimau kumbang tersebut terlebih dahulu sebelum maklumat lanjut dikongsikan.-UTUSAN.