GUA MUSANG: Seekor harimau belang jantan yang sebelum ini dipercayai membaham anjing peliharaan Orang Asli Pos Bihai di sini akhirnya memasuki perangkap yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) semalam.
Harimau belang yang diberi nama Apek Bihai berusia dalam lingkungan dua tahun itu berjaya ditangkap dalam keadaan sihat di Kampung Hak, Pos Bihai.
Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, pihaknya menerima aduan seekor harimau belang berkeliaran di kawasan tersebut daripada penduduk Kampung Hak pada 24 Julai lalu.
Katanya, susulan daripada aduan tersebut, Jabatan Perhilitan Negeri Kelantan telah menjalankan siasatan awal, pemantauan dan pemasangan satu unit perangkap harimau belang (Perangkap Wahab) di lokasi aduan.
“Unit Konservasi Harimau Malaya (UKHM), Jabatan Perhilitan Semenanjung Malaysia bersama kakitangan Jabatan Perhilitan Negeri Kelantan telah menjalankan operasi tangkapan harimau belang kelmarin.
“Operasi itu melibatkan 10 anggota dan pemasangan satu unit perangkap tambahan di kawasan aduan dan seekor kambing hidup telah digunakan sebagai umpan,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Hafid memberitahu, seekor harimau belang jantan yang diberi nama Apek Bihai telah memasuki perangkap itu semalam.
Katanya, harimau belang tersebut akan dibawa ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), Sungkai di Perak.
Berdasaelan rekod Jabatan Perhilitan, kes pertama melibatkan serangan harimau belang di Pos Bihai berlaku pada 5 Julai 2021.
Seekor harimau belang betina yang diberi nama Syamilla Bihai telah menyerang seorang lelaki Orang Asli sehingga mengalami kecederaan parah.
Harimau itu telah berjaya ditangkap dan ditempatkan di NWRC, Sungkai.
Kes kedua pula berlaku pada 7 Januari tahun lalu melibatkan kematian seorang lelaki Orang Asli akibat diserang harimau belang.
Harimau belang itu terpaksa ditembak mati kerana telah cuba menyerang anggota Perhilitan semasa operasi. –UTUSAN