Gerakan tubuh jawatankuasa khas kenal pasti kerusi boleh menang - Utusan Malaysia

Gerakan tubuh jawatankuasa khas kenal pasti kerusi boleh menang

DOMINIC LAU HOE CHAI (tiga kanan) bergambar selepas mengadakan sidang akhbar di ibu pejabat Gerakan Johor, di Skudai, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) akan memulakan gerak kerja awal bagi mengenal pasti kerusi tumpuan yang boleh dimenangi mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Presidennya, Datuk Dominic Lau Hoe Chai berkata, gerak kerja awal perlu dibuat bagi memulihkan pemikiran masyarakat bukan Melayu yang telah termakan tipu helah Pakatan Harapan (PH) dan DAP, selama ini.

Menurutnya, langkah itu diambil dalam mengukuhkan sokongan kaum bukan Melayu, khususnya Cina terhadap Perikatan Nasional (PN).

“Kita telah tubuhkan satu jawatankuasa khas untuk melakukan gerak kerja awal sebagai persediaan hadapi PRU dan PRN akan datang. Ini termasuk pembukaan ‘war room’ yang kebiasaannya hanya dibuat setelah Parlimen dibubarkan.

“Antara tujuan penubuhan jawatankuasa khas ini termasuk mengenal pasti kerusi tumpuan yang boleh dimenangi calon Gerakan. Selain kerusi penyandang, kita juga akan lihat faktor kerusi campuran dan kerusi tewas tipis.

“Ini bermakna kerusi-kerusi di mana calon kita tewas dengan majoriti rendah kira-kita 1,000 undi, kita akan tambah baik perkhidmatan dan kekuatan jentera di sana. Bagi kerusi kita tewas dengan majoriti besar, itu tidak akan menjadi kerusi tumpuan,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat Parti Gerakan Johor, di Skudai, di sini hari ini yang turut dihadiri, Timbalannya, Oh Tong Keong dan Naib Presiden parti, Koo Shiaw Lee.

Dominic yakin sokongan kaum bukan Melayu terhadap PN, khususnya Gerakan semakin meningkat selepas beberapa siri pilihan raya sebelum ini.

“Setelah bekerjasama dalam PN, kita sudah lalui beberapa pilihan raya termasuk PRU dan PRN, nampak sokongan bukan Melayu kepada PN bertambah baik. Jadi, kita akan perkuatkan komunikasi dengan masyarakat bukan Melayu dan bukan Islam.

“Langkah itu penting bagi membersihkan pemikiran masyarakat bukan Melayu yang telah lama ‘dibrain wash’ oleh DAP selama ini. Mereka takutkan sekiranya PN perintah tidak boleh minum arak atau makan babi lagi, itu semua tidak benar. Kelantan dan Terengganu pun tidak halang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan Gerakan kini mempunyai kira-kira 300,000 ahli berdaftar di 174 bahagian dan 1,818 cawangan di seluruh negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya