JOHOR BAHRU: Kerajaan akan melakukan pelarasan gaji pensyarah, profesor serta penjawat awam dalam Belanjawan Madani yang akan dibentangkan di Parlimen, Oktober ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu sebagai langkah sementara sehingga kajian menyeluruh berkaitan skim gaji dan persaraan penjawat awam selesai dilakukan, yang dijangka pada tahun depan.
“Saya tengok pelarasan gaji pensyarah, profesor dan penjawat awam sudah 10, 12 tahun tidak dikaji, tidak dinaikkan.
“Padahal mengikut peruntukan, setiap 10 tahun perlu ada pelarasan (gaji)…tandas bocor kerja saya, gaji pun kerja saya, saya tidak boleh mengadu, saya Perdana Menteri kena selesaikan masalah ini.
“Jadi saya arahkan tubuhkan jawatankuasa untuk kaji masalah ini,” katanya semasa menjawab soalan dalam sesi Temu Anwar di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, di sini semalam.
Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail.
Perdana Menteri berkata, menjadi dasar kerajaan sekiranya ada kemampuan untuk membuat pelarasan semula gaji penjawat awam setiap 10 tahun dan sepatutnya telah dilakukan dua tahun lalu.
Namun, dakwa beliau, kerajaan sebelum ini bukan sahaja tidak melaksanakan perkara itu, malah mesyuarat membincangkan isu itu juga tidak dilakukan.
Sementara itu, Anwar mengajak anak muda menangani fitnah dan tohmahan bagi membina naratif baharu landskap politik dan ekonomi negara.
Usaha itu sebagai langkah menyelamatkan negara, sekali gus mengangkat Malaysia sebagai negara hebat dan gagah di rantau ini.
“Saya percaya insya-Allah kita boleh angkat Malaysia sebagai negara hebat dan gagah di rantau ini.
“Siapa boleh lakukan, anak muda (boleh lakukan), orang lama asyik nak gaduh sahaja,” tegasnya. – UTUSAN