TUMPAT: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mendedahkan rakyat India dan Pakistan yang gagal masuk ke negara ini sebagai pelancong rela mengambil risiko dengan menjadi pendatang asing tanpa izin (PATI) semata-mata mahu ke Malaysia untuk bekerja.
Ketua Pengarahnya Datuk Ruslin Jusoh berkata, maklumat tersebut hasil siasatan yang dilakukan ke atas rakyat India dan Pakistan yang berjaya ditahan selepas masuk ke negara secara tidak sah.
“Untuk makluman, waragenegara India dan Pakistan yang paling tinggi menerima notis penolakan kemasukan (NTL). Hal ini kerana, kebanyakan mereka (India dan Pakistan) cuba masuk ke negara ini sebagai pelancong.
“Bila ditanya tempat tinggal mereka tidak tahu. Dari situlah kita kesan mereka masuk ke Malaysia untuk bekerja tetapi memberi alasan untuk melancong. Apabila gagal dan tidak tidak memenuhi syarat ketika ditemuduga di lapangan terbang, maka cara mudah mudah masuk secara haram,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di sempadan Malaysia-Thailand di Sungai Golok, Pengkalan Kubor di sini hari ini yang turut disertai Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun.
Ruslin memberitahu, bagaimanapun PATI ini dikesan memasuki Thailand secara sah sebelum menyeberangi sungai Golok untuk menyelinap ke Malaysia.
Katanya, kumpulan PATI yang dibawa oleh ejen itu masuk secara berperingkat-peringkat ke Malaysia dengan jadikan hotel sebagai transit.
“Kemudiannya, ejen yang membawa mereka ke lokasi untuk bekerja. Pihak kami (JIM) sentiasa komited bekerjasama dengan pihak berkuasa lain memantau sempadan negara agar dapat mengekang penyeludupan PATI ini.
“Pihak kita akan perketatkan pemeriksaan bas ekspres dari Kelantan ke Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang serta pengangkutan awam lain dalam membanteras aktiviti penyeludupan PATI ini,” ujarnya.
Akhbar sebelum ini melaporkan kejayaan Jabatan Imigresen menahan seorang lelaki Pakistan bersama tujuh lagi rakan senegara dalam serbuan Ops Gelombang IV di beberapa lokasi sekitar Kelantan Isnin lalu.-UTUSAN