KANGAR: Bersempena sambutan Hari Malaysia 16 September ini, Persatuan Wartawan Perlis (PWP) mengambil inisiatif mengumpulkan parti-parti politik negeri ini dalam perlawanan futsal empat penjuru di R7 Futsal Center di sini malam tadi.
Perlawanan yang bermula pada pukul 9 malam sehingga 11 malam itu melibatkan media Perlis, Pemuda UMNO negeri, Pemuda Pas negeri dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) negeri.
Dalam perlawanan berkenaan, Pemuda UMNO negeri meraih tempat pertama manakala tempat kedua diduduki AMK negeri dan ketiga pula dimenangi oleh pasukan PWP B.
Presiden PWP, Syed Azlan Sayid Hizar berkata, persatuan mengambil inisiatif bersempena sambutan Hari Malaysia dalam meraikan semangat perpaduan antara satu sama lain walaupun berbeza ideologi politik.
“Ini merupakan julung kali PWP mengambil inisiatif dengan menjadi pengantara untuk menghimpunkan parti-parti politik dalam mengukuhkan silaturahim antara satu sama lain. Menerusi penganjuran ini, PWP ingin menunjukkan kepada anak muda bahawa ini adalah masa untuk kita semua bersatu padu dan mengetepikan fahaman politik,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pemuda Pas negeri, Haziq Asyraf Dun, berkata, penganjuran perlawanan itu merupakan satu landskap baharu yang cuba dibawa oleh anak muda di negeri ini dalam mengukuhkan hubungan antara satu sama lain.
Katanya, setiap pihak boleh menyokong mana-mana platform politik namun hubungan sesama insan seharusnya berkekalan dan wajar dipelihara.
“PWP juga memainkan peranan yang baik dalam menjadi penghubung bagi mengumpulkan semua parti-parti politik untuk bersama dalam perlawanan ini.
“Dan kami berharap agar perlawanan sebegini dapat diperluaskan lagi pada masa hadapan dengan penglibatan lebih banyak parti politik lain,” katanya.
Setiausaha Pemuda UMNO negeri, Ahmad Nazrin Abdul Aziz pula berkata, perlawanan tersebut dapat mengeratkan hubungan silatulrahim membabitkan rakan-rakan daripada pelbagai parti politik lain.
Katanya, bersempena sambutan Hari Malaysia, aktiviti yang merentas sempadan politik itu sangat baik sekali gus mewujudkan hubungan erat dalam kalangan anak muda di negeri ini tanpa mengira fahaman politik.
Sementara itu, Ketua AMK negeri, Raskhairulimran Raszali berkata, pihaknya menyambut baik penganjuran perlawanan itu yang julung kali dilaksanakan di negeri ini.
“Anak muda perlu menjadi contoh dalam mengamalkan politik matang agar dapat menjadi teladan buat golongan masa hadapan. Pilihan raya juga sudah tamat dan kini masa untuk kita semua fokus berkhidmat buat rakyat,” katanya.-UTUSAN