SEREMBAN: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Sembilan akan diminta untuk menambah baik proses jualan beras putih tempatan (BPT) bagi pelaksanaan Intervensi Pengedaran BPT di negeri ini selepas ia mendapat rungutan daripada orang ramai di sesetengah tempat.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, langkah tambah baik itu termasuklah mengehadkan jumlah pembelian oleh orang ramai bagi mengelakkan bekalan beras tersebut tidak mencukupi.
“Kalau ikut keperluan dan pembelian biasa maka langkah intervensi yang dilaksanakan dapat menampung dan mengisi sedikit kekurangan (bekalan BPT) yang kita ada, cuma saya minta kerjasama supaya tidak membuat pembelian panik.
“Saya ada dapat lapotan ada satu keluarga beli sampai enam kampit 10 kilogram, ini tidak adil kepada orang lain, kalau di Seremban tadi, Fama hanya benarkan satu keluarga atau seorang individu beli satu kampit sahaja tetapi ia tidak berlaku di Kuala Pilah dan Jelebu dan menyebabkan berlakunya kekurangan.
“Hari ini adalah hari pertama dan kaedah penjualannya mungkin agak terlepas pandang, sehingga ada yang membeli lebih daripada jumlah yang sewajarnya, ia akan tambah baik, dan saya telah ingatkan kepada pegawai-pegawai agensi terbabit supaya lebih spesifik dan praktikal dalam mengedar dan menjual bekalan beras dalam program ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Sembilan di Wisma Negeri di sini.
Beliau juga Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan berkata demikian bagi mengulas video tular yang memaparkan orang ramai yang hampa dan tidak berpuas hati selepas beras tempatan yang dijual oleh FAMA itu habis tanpa sempat mereka membelinya.
Kejadian tersebut dipercayai berlaku di Pusat Operasi FAMA Kuala Pilah. Difahamkan, sebanyak 170 pek beras 10 kilogram diedarkan di situ daripada jumlah keseluruhan 2,000 kampit beras yang diterima FAMA Negeri Sembilan untuk dijual di seluruh negeri ini menerusi pelaksanaan Intervensi Pengedaran BPT.
Sementara itu, Jalaluddin menjelaskan, Negeri Sembilan telah menerima sebanyak 20 metrik tan BPT bagi pelaksanaan Intervensi Pengedaran BPT kali pertama hari ini.
“Bekalan pada hari ini tentunya tidak mencukupi bagi menampung keperluan masyarakat secara sepenuhnya dan bekalan ini akan ditambah dari semasa ke semasa, mengikut statistik, Negeri Sembilan memerlukan kira-kira 50 metrik tan beras semiggu untuk keperluan masyarakat di negeri ini,” katanya.-UTUSAN.