MUAR: Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan, reformasi diperjuangkan Pakatan Harapan (PH) sudah tiada, susulan keputusan kes mahkamah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang ditarik oleh pihak pendakwaan.
Dakwa beliau, walaupun PH berjanji tidak campur tangan dalam kes tersebut, namun pembebasan Presiden UMNO itu membuktikan sebaliknya.
“Saya nak isytihar innalillahi rojiun, reformasi sudah mati. Mana lagi panglima PH yang dulunya berjuang bersama Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dari 1998 berjuang hingga ke hari ini, berpuluh tahun reformasi dilaungkan dan hari ini ia mati.
“Yang mentalkinkan, mengkuburkan dan mematikannya adalah orang yang mengasaskannya adalah Anwar, dia kata tidak campur tangan, tapi bila kamu lantik dia sebagai Timbalan Perdana Menteri, di situ dah campur tangan dalam kes Ahmad Zahid,” katanya dalam ceramah Pentas Anak Muda PN sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram di sini, malam tadi.
Selepas 77 hari dibicarakan, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam melepas tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) membenarkan permohonan Jabatan Peguam Negara (AGC) agar prosiding perbicaraan diberhentikan bagi kesemua pertuduhan terhadap Timbalan Perdana Menteri.
Kata Ahmad Fadhli, tindakan Anwar jauh berbeza dengan sewaktu kes Ahmad Zahid dikendalikan di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Ketika zaman Muhyiddin, dia ada majoriti tipis, kalau nak kekuatan kita boleh lantik pemimpin UMNO yang ada kes mahkamah menjadi anggota Kabinet tapi Muhyiddin dengan kekuatan dan keyakinan tak lantik mana mana menteri yang ada kes masuk Kabinet.
“Kerana itulah membawa kepada penarikan sokongan ahli-ahli Parlimen UMNO dari PN masa itu. Ismail Sabri langkah sama juga diambil, tidak lantik mana-mana ahli Parlimen yang ada kes masuk Kabinet. Kita meletakkan benchmark (tanda aras) tinggi, tiba-tiba naik Anwar dengan tatakelola, dia lantik Ahmad Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri,” katanya. – UTUSAN