Enam beranak dikebumi dalam sebuah kubur - Utusan Malaysia

Enam beranak dikebumi dalam sebuah kubur

ABDURRAHMAN AMIR RUDDIN ditenangkan bapa saudaranya, Mohamed Khairul Noor Mohamed, 54, pada pengebumian enam ahli keluarganya di Tanah Perkuburan Islam Ubudiah, Parit Limbong, Muar, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Jenazah enam beranak yang maut dalam nahas membabitkan lima buah kenderaan termasuk sebuah lori di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan petang semalam selamat dikebumikan dalam sebuah kubur, di sini petang tadi.

Jenazah Amir Ruddin Ismail, 46; isterinya, Norahimah Noor Muhamad, 43, dan empat anak mereka, Fatimatulzahrah, 17, Seri Khadijah Aqilah, 13, Rufaidatul Asyariyah, 10, dan Muhammad Assyakrawi, 5, dikebumikan pukul 4.50 petang di Tanah Perkuburan Islam Ubudiah Parit Limbong. 

Terdahulu, anak sulung mangsa,  Abdurrahman Amir Ruddin, 19, mengimamkan solat jenazah di Masjid Ubudiah yang dihadiri kira-kira 500 jemaah.

Semalam, media melaporkan enam sekeluarga terkorban dalam kemalangan membabitkan lima buah kenderaan di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah berkata, nahas berlaku pada pukul 6.37 petang itu meragut nyawa pemandu Perodua Alza, Amir Ruddin Ismail, 46 serta lima lagi ahli keluarganya.

Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu sebuah kereta Honda HR-V yang datang dari arah Kuantan menghala ke Segamat memperlahankan kenderaan kerana di hadapannya terdapat kerja-kerja pembaikan jalan raya.

Sebuah lori yang membawa muatan pasir yang datang dari arah yang sama gagal membrek dan hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang Honda HR-V terbabit dan sebuah Proton Wira yang sedang berhenti.

Lori itu hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan merempuh Perodua Alza yang dinaiki keluarga mangsa terbabit.

Seorang lagi anak mangsa, Abdullah, 15, mengalami cedera parah dan kini dirawat di Hospital Segamat.

Pemandu lori yang turut parah dirawat di hospital sama.

Pemandu serta penumpang Honda HR-V, Proton Wira dan Perodua Bezza bagaimanapun terselamat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya