Empat kakitangan perubatan awam ditahan, terima rasuah balasan tawar kerja pengurusan mayat - Utusan Malaysia

Empat kakitangan perubatan awam ditahan, terima rasuah balasan tawar kerja pengurusan mayat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Empat orang kakitangan perubatan awam telah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan hari ini kerana disyaki meminta dan menerima rasuah dengan jumlah keseluruhan kira-kira RM11,000.

Ia sebagai balasan menawarkan kerja-kerja pengurusan mayat bukan Islam di sebuah hospital di negeri ini di antara tahun 2022 hingga tahun ini.

Sumber memberitahu, tiga orang suspek lelaki dan seorang suspek wanita berusia antara 30-an hingga 50-an itu dipercayai ditahan antara kira-kira pukul 4 petang hingga 7 malam tadi di pejabat SPRM Negeri Sembilan ketika diminta hadir memberi keterangan.

Kesemua suspek yang bertugas di hospital yang sama dipercayai menerima wang rasuah di antara RM100 hingga RM600 yang melibatkan kira-kira 42 transaksi bank daripada dua syarikat yang menawarkan perkhidmatan pengurusan mayat.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra bin Awg Ismail mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Beliau berkata, keempat-empat suspek akan dibawa untuk tujuan permohonan reman di Mahkamah Majistret Jenayah Seremban esok.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN