DUN: Johor peruntuk RM5.26 juta insentif kepada petani muda - Utusan Malaysia

DUN: Johor peruntuk RM5.26 juta insentif kepada petani muda

ZAHARI SARIP menjawab soalan pada Sidang DUN Johor Ke-15 di Kota Iskandar, Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM5.26 juta pada tahun ini bagi pemberian insentif kepada 1,185 belia untuk menyokong dan memperkasakan lagi aktiviti pertanian dan penternakan yang diusahakan mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Zahari Sarip berkata, insentif tersebut bagi menggalakkan para petani atau usahawan muda berkenaan kekal bersaing dan berdaya maju.

Menurutnya, pelaksanaan 12 program insentif itu membabitkan Jabatan Pertanian negeri, Jabatan Perikanan negeri, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Johor.

“Kerajaan giat merangka dan melaksanakan pelbagai inisiatif merentasi kementerian dan 

agensi bagi menggalakkan rakyat, terutamanya golongan belia bagi menceburi pekerjaan 

dalam sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar). 

“Antara inisiatif yang dilaksanakan adalah 

dengan memperkasakan peralihan industri kepada teknologi pertanian pintar dalam mewujudkan ekosistem pertanian yang menggalakkan pembinaan kapasiti.

“Kerajaan negeri turut membantu dari segi penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta penggunaan Internet of Thing (IoT) yang dapat mewujudkan permintaan terhadap pekerja berkemahiran tinggi,” katanya menjawab soalan Mohd. Yusla Ismail

(BN-Senggarang) tentang bentuk dan jumlah bantuan yang ditawar oleh kerajaan bagi menggalakkan golongan belia di negeri ini menceburi bidang pertanian pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Ke-15 di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Zahari berkata, selain itu, jabatan dan agensi juga berperanan dalam memberikan khidmat nasihat, pelaksanaan kursus atau latihan dan pembelajaran secara teknikal bagi memupuk minat dan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam aktiviti pertanian.

“Pada tahun ini sahaja, sebanyak 188 siri kursus dan latihan pelbagai bidang telah dilaksanakan dan melibatkan 4,317 belia tani,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya