DUN: 266 sekolah agama swasta belum berdaftar, diluluskan - Exco - Utusan Malaysia

DUN: 266 sekolah agama swasta belum berdaftar, diluluskan – Exco

MOHD. FARED MOHD. KHALID menjawab soalan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Ke-15 di Kota Iskandar, Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI:  Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menerusi Bahagian Pendidikan Islam mengesan sebanyak 266 buah sekolah agama swasta yang masih belum berdaftar dan diluluskan penubuhannya.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, jumlah itu melibatkan 31 sekolah tahfiz, 12 sekolah pondok, 10 sekolah rendah Islam dan 213 prasekolah.

Justeru, JAINJ kini giat berusaha memberi pendedahan tentang kewajiban mendaftarkan institusi pendidikan tersebut, khususnya di peringkat prasekolah.

“Bagi sekolah-sekolah tahfiz yang ingin berdaftar dalam negeri Johor, sekolah tersebut perlu melalui beberapa proses kelulusan mengikut Kaedah-kaedah Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam 1981. Terdapat 15 proses atau dokumen wajib yang perlu disediakan, antaranya status hak milik tanah (supaya tidak timbul isu setelah didaftarkan), perakuan daripada beberapa jabatan berkaitan seperti  Jabatan Kesihatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Polis Diraja Malaysia (PDRM). 

“Selain itu, surat kebenaran mengajar guru-guru yang dikeluarkan oleh Bahagian Undang-undang Syariah merupakan salah satu dokumen wajib yang perlu disediakan bagi memastikan guru-guru yang mengajar di sekolah tahfiz mempunyai tauliah,” katanya menjawab soalan Gan Peck Cheng (PH-Penggaram) mengenai jumlah sekolah agama swasta yang tidak berdaftar di negeri ini pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Ke-15 di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Mohd. Fared (BN-Semerah) berkata, sekolah agama swasta adalah wajib didaftarkan di bawah Enakmen Pengawalan Sekolah-sekolah Agama 1991.

Beliau berkata, hingga Julai lalu, sebanyak 215 buah sekolah agama swasta yang telah berdaftar dan melibatkan lebih 7,000 pelajar berumur antara 10 hingga 30 tahun.

“Setakat ini terdapat 37 sekolah agama swasta merangkumi kategori sekolah tahfiz, sekolah pondok, sekolah menengah Islam dan sekolah rendah Islam sedang dalam proses untuk mendapatkan pendaftaran penuh, ada sebahagian sedang dalam proses melengkapkan dokumen pendaftarannya.

“Selain itu, jabatan ini juga sedia membantu sekiranya sekolah-sekolah tahfiz tersebut mempunyai kekangan dalam mendapatkan kelulusan pendaftaran daripada pelbagai pihak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN