Dua minggu tiada minyak peket di Felda Tekam Utara, Gelanggi, Lepar - Utusan Malaysia

Dua minggu tiada minyak peket di Felda Tekam Utara, Gelanggi, Lepar

AIZAT Majid (kiri) dan Anuar Rahman (kanan) menunjukkan tempat minyak masak peket yang kosong di kedainya di Felda Tekam Utara di Jerantut, Pahang. - FOTO/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Pengguna di kawasan tanah rancangan di Felda Tekam Utara, Gelanggi dan Lepar di sini putus bekalan minyak masak peket sejak dua minggu lalu sehingga terpaksa ke pasar raya di bandar Jerantut dan Jengka yang agak jauh untuk mendapatkan bekalan.

Peniaga kedai runcit Felda Tekam Utara, Aizat Majid, 32, berkata, selalunya dia memperoleh 10 kotak mengandungi 170 peket minyak masak dan dijual dalam tempoh tiga hari dengan harga RM2.50 sepeket.

“Namun, minyak peket sudah habis di kedai saya sejak dua minggu lalu dan sehingga kini masih belum menerima bekalan berkenaan daripada pemborong,” katanya di sini hari ini.

Aizat berkata, pekedai di situ juga menghadapi kekurangan bekalan beras 10 kilogram dan lima kilogram dalam tempoh yang sama.

“Saya dimaklumkan oleh pembekal, beras akan dihantar dalam masa terdekat ini sambil berharap kedua barang ini segera sampai di kedai saya supaya tidak menghampakan pelanggan,” katanya.

Penduduk Felda Tekam Utara, Anuar Rahman, 61, berkata, kekurangan bekalan minyak peket dan beras berikutan permintaan tinggi pada musim cuti sekolah untuk majlis kenduri kendara dan sambutan tertentu dalam kalangan keluarga.

“Hari ini saya datang ke kedai Aizat untuk membeli minyak masak peket, tetapi diberitahu tiada bekalan sejak dua minggu lalu. Saya hampa kerana isteri menunggu untuk memasak.

“Saya dimaklumkan oleh jiran, bekalan minyak peket juga berkurangan di pasar raya bandar Jerantut dan menyusahkan penduduk untuk menyediakan makanan di rumah dan sebagainya,” katanya.

Peniaga pisang goreng, Fahmi Abdul Samad, 45, berkata, dia terpaksa memberhentikan jualan sejak minggu ini berikutan ketiadaan minyak peket.

‘Saya hendak ke bandar Jerantut agak jauh dan tidak berbaloi untuk berbelanja dua peket sahaja minyak masak dan kelazimannya sebelum ini, saya berbelanja dua peket di kedai runcit Felda ini,” katanya.

Ujarnya, sekiranya keadaan ini berterusan kemungkinan peniaga makanan yang ratanya berpendapatan rendah berdepan masalah sekali gus membantutkan perniagaan masing-masing. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya