JOHOR BAHRU: Dua lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dalam insiden rusuhan semasa program Desaru International Bike Week (DIBW) 2023 di Pantai Awam Desaru, Kota Tinggi, malam tadi.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, dua individu berusia 50 dan 30 tahun itu ditahan pagi tadi bagi membantu siasatan kejadian yang tular dalam media sosial itu pada pukul 1.15 pagi tadi.
“Polis Johor telah membuka kertas siasatan dan sedang mengenal pasti individu-individu yang terlibat dalam kejadian rusuhan itu. Setakat ini, kita sudah tahan dua lelaki tempatan, masing-masing di Kota Tinggi dan Johor Bahru bagi membantu siasatan. Siasatan awal mendapati punca kejadian adalah akibat berlakunya salah faham antara dua kumpulan berbeza, antara peserta tempatan dan antarabangsa.
“Seorang daripada suspek yang ditahan cedera dan menerima empat jahitan di kepala akibat insiden berkenaan. Selain itu, kita juga masih mengesan beberapa lagi individu yang turut terlibat,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Kamarul Zaman berkata, rusuhan itu dipercayai berlaku akibat provokasi dan cabar-mencabar antara kedua-dua pihak sehingga berlaku pergaduhan yang turut melibatkan balingan kerusi kayu dan plastik.
“Acara ini telah mendapat sambutan masyarakat khususnya penunggang motosikal yang masuk ke kawasan berkenaan bagi mengikuti pelbagai aktiviti yang telah disediakan penganjur. Walau bagaimanapun, berlaku salah faham antara kumpulan penunggang motosikal tempatan dan kumpulan penunggang motosikal dari Amerika Syarikat (USA),” katanya.
Beliau memberitahu, kejadian yang berlaku pada pukul 9 malam semalam itu berjaya dikawal oleh kira-kira 350 pegawai dan anggota polis yang ditugaskan pada program berkenaan.
“Polis berjaya menyuraikan semua peserta dan menghalang insiden lebih teruk berlaku,” katanya sambil memberitahu kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
Beliau turut menasihatkan orang awam supaya tidak berasa bimbang dengan kejadian itu dan menimbulkan sebarang spekulasi yang boleh mengelirukan masyarakat.
“Pihak yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi menerusi talian 07-8831222 atau Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Ng Han Shoong menerusi talian 016-5488810 atau mana-mana balai polis berhampiran,” tambahnya. – UTUSAN