JELEBU: Seorang pemandu kereta maut selepas terbabit nahas dengan sebuah lori dengan kedua-dua kenderaan tersebut jatuh ke lereng bukit berketinggian enam meter dalam kejadian di Bukit Tangga, berhampiran Taman Eko-Rimba Jeram Toi di sini pagi tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan berkata, pasukan bomba mendapat maklumat mengenai kejadian kira-kira pukul 9.26 pagi membabitkan kemalangan sebuah kereta jenis Proton Persona dan sebuah lori.
Menurutnya, berdasarkan maklumat awal, lori tersebut dalam perjalanan dari Seremban menghala ke Jelebu dan telah hilang kawalan lalu terbabas semasa menuruni bukit berhampiran Jeram Toi.
“Lori berkenaan kemudiannya melanggar sebuah kereta menyebabkan kedua-dua kenderaan tersebut jatuh ke lereng bukit dengan ketinggian kira-kira enam meter.
“Akibat pelanggaran tersebut, kereta tersebut telah terbakar 100 peratus. Pemandu lori mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan telah dibawa ke Hospital Jelebu.
“Pemandu kereta meninggal dunia di dalam kenderaan yang terbakar dan pihak bomba telah mengeluarkan mayat mangsa kira-kira pukul 12.04 tengah hari tadi,” katanya
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Jelebu, Asisten Superintenden, Goh Kay Lun berkata, identiti mangsa kemalangan yang rentung itu sedang dikenal pasti.
“Pihak polis akan menyemak nombor casis kenderaan yang terbakar tersebut bagi tujuan mengenal pasti pemilik kenderaan untuk tindakan selanjutnya,” katanya yang memberitahu mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Jelebu bagi proses bedah siasat.-UTUSAN.