Dua bulan 'ikat perut' gaji tertunggak - Utusan Malaysia

Dua bulan ‘ikat perut’ gaji tertunggak

SEBAHAGIAN pekerja pembersihan mengadakan piket aman setelah didakwa mengalami tunggakan gaji selama dua bulan di Kuala Krai, Kelantan. UTUSAN/ROSMIZAN RESDI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KRAI: Seramai 43 pembersihan di beberapa buah sekolah sekitar daerah ini mendakwa terpaksa ‘mengikat perut’ selepas berdepan tunggakan gaji sejak dua bulan lalu.

Dakwa mereka, kelewatan pembayaran gaji yang bermula sejak Julai lalu itu telah memberikan kesan dalam meneruskan kelangsungan hidup.

Lebih menyedihkan lagi, perkara tersebut hanya dimaklumkan menerusi satu notis yang menjelaskan tunggakan gaji berlaku sepanjang tempoh dua bulan.

Seorang pekerja pembersihan, Zaidi Ibrahim, 39, berkata, setakat ini dia hanya menerima bayaran gaji bulan Jun pada 8 Julai lalu.

Menurutnya, bagaimanapun gaji untuk Julai dan Ogos masih belum diterima sehingga sekarang menyebabkan dia tidak mampu membayar bil elektrik dan air sekali gus berlaku tunggakan.

“Tunggakan kedua-dua bil itu sudah mencecah hampir RM1,000. Saya mempunyai enam orang anak masing-masing berusia di antara 17 hingga tujuh tahun. Merumitkan keadaan, kesemua mereka masih bersekolah.

“Bila gaji saya tertunggak, anak-anak tidak dapat hadir ke sekolah kerana tidak mempunyai wang saku. Sejujurnya, ketika ini saya bergantung sepenuhnhya kepada pendapatan isteri sebagai pembantu kantin sekolah dengan upah sebanyak RM15 sehari,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan piket aman di sini, hari ini.

Siti Nur Hasanah Che Wil,40, yang merupakan ibu tunggal memberitahu, walaupun masih belum menerima gaji sejak dua bulan lalu dia dan rakan-rakan masih bekerja seperti biasa.

Katanya, dia terus kental bertahan kerana ini adalah satu-satunya punca pendapatannya untuk menyara anak-anak.

“Setiap minggu saya berdoa dan setia menunggu duit gaji untuk masuk ke akaun bagi meneruskan kelangsungan hidup.

“Saya berharap pihak bertanggungjawab dapat menyelesaikan masalah ini. Disebabkan tunggakkan gaji tersebut, saya juga tidak mampu membayar sewa rumah,” ujarnya.

Sementara itu, pihak majikan ketika dihubungi Utusan Malaysia mengakui kelewatan bayaran gaji ke atas pekerja-pekerjanya disebabkan berdepan masalah kewangan.

Katanya, mereka sedang berusaha untuk membayar kesemua tunggakan gaji pekerja kerana memahami kesulitan dialami kumpulan berkenaan.

“Sebelum ini, tidak pernah berlaku kelewatan pembayaran gaji sehinggalah pelaksanaan gaji minima RM1,500 yang amat membebankan syarikat dan perlu dibayar bermula Mei tahun lalu.

“Sejak itu, kami terpaksa menggunakan wang syarikat sebagai pusingan untuk membayar gaji pekerja dan kini sedang berusaha bagi memastikan tunggakan ini dapat diselesaikan dengan kadar segera selain gaji dapat dibayar seperti biasa,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya