Dua beradik antara 155 pengantin baharu sertai perkahwinan perdana - Utusan Malaysia

Dua beradik antara 155 pengantin baharu sertai perkahwinan perdana

MOHD. FARED MOHD. KHALID (duduk, tengah) bersama-sama pasangan pengantin baharu yang melangsungkan pernikahan di Pusat Konvensyen Danga Bay, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Dua beradik, Nurulummi Osman, 37, dan adiknya, Nurulainun, 28, berkongsi detik bahagia melangsungkan hari perkahwinan bersama-sama 153 pasangan lain pada Program Walimatul Urus Perdana 2023 Peringkat Negeri Johor.

Nurulainun yang diijabkabulkan dengan pasangannya, Suhaimi Badrum, 28, mengetahui tentang program itu menerusi aplikasi TikTok sebelum mendaftar bagi menyertainya dan turut memaklumkan perkara itu kepada kakaknya.

“Berdasarkan perancangan awal, saya dan suami ingin mendirikan rumah tangga pada tahun depan, namun setelah mendapat tahu mengenai program ini, kami terus mendaftar. 

Bagi saya, program ini sangat bagus buat pasangan muda yang ingin bernikah, banyak perbelanjaan dapat dijimatkan dengan menyediakan pelamin, penginapan, makanan dan lain-lain. Sebagai pasangan muda, program ini membolehkan kami berjimat,” katanya.

Sementara itu, Nurulummi dan suaminya, Mohd. Soffi Shamsuri, 37, turut berhasrat untuk mengadakan majlis kesyukuran untuk ahli keluarga secara kecil-kecilan selepas ini.

Dia tidak menyangka terpilih untuk menyertai program tersebut dan bersyukur kerana segala urusannya dipermudahkan.

“Syukur syarat yang dikenakan tidak begitu ketat yang terbuka kepada warga Johor dan pasangan yang melangsungkan pernikahan buat pertama kali. Alhamdulillah, proses pernikahan berjalan lancar dan Kami dapat meraikan hari gembira ini bersama ahli keluarga yang turut hadir pada hari bahagia ini,” katanya.

Terdahulu, seramai 155 pasangan pengantin baharu selamat diijabkabulkan dalam program tersebut yang diadakan di Dewan Pusat Konvensyen Danga Bay, di sini.

Lebih meriah, majlis pernikahan beramai-ramai pasangan raja sehari itu dianjurkan sempena hari bersejarah, iaitu pada Hari Malaysia, semalam.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Jamaludin A. Hamid dan Timbalan Mufti Negeri Johor, Datuk Ahmad Faisal Mohamed.

Kesemua pasangan pengantin dinikahkan oleh 50 jurunikah dengan diketuai oleh Kadi Besar Negeri Johor, Halid Sono bermula pukul 10.40 pagi.

Menurut Mohd. Fared, program pernikahan beramai-ramai itu merupakan acara tahunan anjuran kerajaan negeri yang memperuntukkan  RM500,000 bagi menjayakan majlis tersebut, sekali gus membantu mengurangkan kos majlis pernikahan pasangan pengantin yang berkelayakan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya