KUANTAN: Kelab Motosikal Berkuasa Tinggi, Daz Bikers dan Lotuss Stores (Malaysia) Sdn. Bhd. (Lotus’s Malaysia) mengadakan program amal membantu 40 golongan memerlukan terdiri daripada asnaf, kumpulan berpendapatan rendah (B40) dan orang kurang upaya (OKU) di sekitar Sungai Lembing di sini.
Ia merupakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) julung kali kerjasama antara Daz Bikers dan Lotus’s, rangkaian pasar raya besar terkemuka di Malaysia.
Penaung Daz Bikers, Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir berkata, menerusi program amal itu, penerima menerima barangan keperluan seperti beras, minyak masak, susu dan gula sumbangan pasaraya Lotus’s.
“Sejak pasaraya ini (Lotus’s) dibuka di sini, ia program julung kali mereka bagi membantu golongan memerlukan seperti asnaf, OKU.
“Terima kasih kita ucapkan kepada Lotus’s. Semoga kerjasama ini akan berterusan selepas ini bagi membantu lebih ramai golongan memerlukan,” katanya di sini.
Yang hadir sama pada program berkenaan, Pengurus Besar Lotus’s Indera Mahkota, Mohd. Khairuddin Azizan dan Ketua Penglibatan Komuniti Lotus’s Indera Mahkota, Muhammad Ikhwan Zulkaflee.
Dalam pada itu, Zuhairi berkata, ‘Charity Ride’ merupakan program yang tidak asing lagi dalam kalangan penunggang motosikal terutama Daz Bikers bagi membantu komuniti penduduk yang memerlukan.
“Adalah menjadi harapan kami agar sumbangan menerusi program amal ini dapat membantu meringankan beban penerima terbabit.
“Program ‘Charity Ride’ ini adalah salah satu cara untuk kami mendekatkan ahli terhadap peranan dan tanggungjawab terhadap penduduk di negeri ini,” katanya.
Beliau dalam pada itu menyeru lebih ramai belia mengambil bahagian dalam sukan rekreasi permotoran agar mereka dapat melakukan kerja amal terhadap komuniti penduduk di kawasan masing-masing.
“Lebih terbaik jika program amal ini melibatkan kerjasama pasaraya besar seperti mana dilakukan antara Daz Bikers dan Lotus’s,” katanya. – UTUSAN