KUALA LUMPUR: Semua pemimpin parti komponen Kerajaan Perpaduan dijemput ke Konvensyen Kebangsaan DAP 2023 di Hotel Marriott Putrajaya dekat sini Ahad ini.
Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Steven Sim Chee Keong berkata, jemputan telah dihantar kepada semua parti komponen sejak 23 Ogos termasuk MCA, UMNO dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Isu utama yang akan dibincangkan mengenai hala tuju parti, dasar pembangunan ekonomi dan isu dalaman parti serta penubuhan Kerajaan Perpaduan bukan sahaja di peringkat pusat tetapi di peringkat negeri.
“Bilangan wakil yang layak hadir bagi persidangan kali ini 3,868 orang iaitu tambahan daripada Kongres Khas tahun lalu (25 September 2022) iaitu 3,672 orang. Bagi cawangan yang layak untuk hantar wakil adalah sebanyak 1,530 wakil dari seluruh negara.
“Korum yang ditetapkan adalah 25 peratus dari jumlah 3,868 perwakilan wajib memberi respon untuk memastikan persidangan dapat diteruskan,” kata beliau semasa sidang media berhubung Konvensyen Kebangsaan DAP 2023 di Ibu Pejabat DAP di sini hari ini.
Bagaimanapun, menurut beliau, setakat ini DAP belum menerima sebarang maklumat mengenai orang kenamaan akan hadir.
ISU DALAMAN
Steven yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata, konvensyen itu akan memberi tumpuan antaranya kepada isu dalaman parti serta perkara-perkara membabitkan kerajaan perpaduan, termasuk dasar-dasarnya.
Kata beliau lagi, ini adalah konvensyen pertama selepas DAP bersama Pakatan Harapan (PH) dan parti komponen lain membentuk Kerajaan Perpaduan tahun lalu.
Mengenai slogan ‘Malaysian Malaysia’, kata Steven isu tersebut sudah dijelaskan oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dan ia tidak bercanggah dengan perlembagaan negara.
“Kalau Malaysia bukan untuk rakyat Malaysia, untuk siapa? Ia merupakan satu perjuangan utama dan martabat rakyat Malaysia di negara ini.
“Sekiranya terdapat ahli-ahli lain yang ingin membangkitkan dasar dan perjuangan parti semasa persidangan minggu ini, itulah tempat dan ruangnya, mereka bebas untuk membangkitnya,” kata Steven. – UTUSAN