JERANTUT: Durian Premium Kampung (DPK), Damak King kini menjadi ‘raja buah’ yang mula mendapat pasaran meluas bukan sahaja di negeri ini malah sehingga ke Kelantan, Terengganu dan Lembah Klang sekali gus menyayangi durian komersial, Musang King.
Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) Damak, Zulkifly Mahmud, 58 berkata, buah DPK keluaran pekebun Kampung Damak dan Ulu Cheka di sini itu sudah meniti di bibir penggemar ‘raja buah’ tersebut sejak tahun lalu kerana rasanya ‘berlainan’ dengan buah durian komersial yang lain.
“Hal ini menyebabkan Damak King menjadi tarikan penggemar di negeri ini dan Lembah Klang sehingga ada yang membuat tempahan lebih awal luar musim sebelum buah berkenaan gugur.
“Oleh kerana tahun ini Damak King lebat berbuah dan mula gugur, permintaannya terus meningkat dan harganya sudah meningkat RM50 sekilogram dan kemungkinan melebihi paras harga sekarang sekiranya permintaannya semakin tinggi,” katanya di sini hari ini.
Menurut Zulkifly, hasil promosi menerusi media sosial Facebook dan Instagram malah akhbar Utusan Malaysia turut melaporkan kehebatan Damak King tahun lalu menyebabkan buah itu terus mendapat tempahan dari pemborong di Terengganu, Kelantan dan Lembah Klang.
Katanya, musim lalu, Damak King kurang berbuah disebabkan cuaca tidak menentu, tetapi berbeza musim ini begitu lebat di setiap kebun durian yang diusahakan oleh seramai 12 orang pengusaha di Kampung Damak dan Kampung Ulu Cheka.
“Minggu kedua, Damak King sudah rancak gugur dan saya serta rakan peniaga, Ramli Mustapha sudah memasarkan seberat 10 tan Damak King ke Terengganu dan Lembah Klang termasuk kepada penggemar buah ini yang membuat tempahan awal di daerah ini.
“Saya difahamkan oleh pekebun lebih 2,000 biji Damak King yang akan gugur sehingga penghujung bulan ini dan akan dipasarkan terus ke gerai kami berdekatan Jalan Jerantut – Benta, pekan Damak setiap hari,” katanya.
Menjelaskan sejarah baka Damak King, Zulkifly berkata, asalnya dari cantuman tunas baka Tok Merah yang ditanam oleh seorang penduduk di sini dan kemudiannya memperoleh baka baharu (Damak King) menerusi cantuman tunas dan ditanam oleh empat pekebun durian di kampung tersebut sejak 40 tahun lalu.
Sementara itu, rakannya, Ramli berkata, pada minggu lalu, dia memasarkan seberat 500 kilogram Damak King sehari berasaskan tempahan dan dijangka mencapai 1,000 kilogram sehari bermula minggu ini kerana buahnya sudah mula rancak gugur.
“Setiap hari kami memenuhi permintaan pelanggan yang membuat tempahan awal dan selebihnya dijual kepada pembeli yang singgah di gerai ini. Kebiasaannya, Damak King laris dan habis dijual sebelum pukul 9 pagi dan sekiranya ada pun bekalan pada sebelah petang dihantar oleh pekebun ke sini,” katanya.
Ramli yang sudah 20 tahun sebagai peniaga buah DPK Kampung Damak berkata, Damak King sudah ‘menawan hati’ penggemar raja buah semua kaum dan sudah pun bersaing dengan klon komersial yang lain seperti Musang King.
Dia berkata, tarikan Damak King kerana tekstur ulasnya sederhana besar, warna kekuningan dan keperangan, aroma isinya wangi dan boleh dikatakan setanding dengan musang king dan buah komersial lain. – UTUSAN