Dakwaan pekerja asing pasar raya sorok beras hanya salah faham - Utusan Malaysia

Dakwaan pekerja asing pasar raya sorok beras hanya salah faham

Alieff Sabeh
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kejadian tular yang didakwa menunjukkan terdapat pekerja warga asing menyorok beras untuk dijual kepada sekumpulan warga asing lain di sebuah pusat beli-belah di Permas Jaya, di sini hanya salah faham.

Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras Johor, Mohd. Alieff Sabeh berkata, pihaknya telah melakukan pemeriksaan berkaitan kejadian tersebut, Ahad lalu.

Walau bagaimanapun, pemeriksaan awal mendapati tiada stok beras putih tempatan (BPT) kecuali hanya tiga bungkusan kampit yang telah terkoyak.

“Namun, selepas diperiksa semula, terdapat satu bungkusan yang masih elok sebelum sekumpulan warga asing datang kemudian membeli bungkusan tersebut. Insiden ini hanyalah salah faham, sebaliknya tiada kejadian sorok beras yang berlaku dalam insiden tular terbabit,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Pasaraya Maslee Taman Cendana, Pasir Gudang yang turut dihadiri Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.

Sabtu lalu, tular satu kenyataan dalam media sosial Facebook milik seorang wanita mendakwa pekerja asing di pasar raya terbabit bertindak menjual sekampit BPT kepada sekumpulan warganegara asing.

Dakwa wanita berkenaan, ketika kejadian tiada stok BPT di rak pasar raya berkenaan, sebaliknya hanya beras import menyebabkan pihaknya menyangka beras tersebut telah disorokkan.

Sementara itu, Mohd. Alieff memberitahu, pihaknya bagaimanapun tidak menerima sebarang aduan rasmi berhubung kejadian tersebut atau kejadian sorok beras lain di negeri ini.

Dalam masa sama, beliau turut memberitahu Johor telah menerima bekalan beras tambahan sebanyak 60 tan metrik sejak semalam bagi mengatasi kekurangan bahan makanan tersebut 

“Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sudah mula mengedarkan bekalan beras tersebut ke 35  premis dikenal pasti di seluruh negeri sejak semalam.

“Sambutan diterima menerusi inisiatif ini amat menggalakkan menyebabkan kita terpaksa mengehadkan pembelian beras hanya dua kampit bagi setiap pembeli, langkah ini dibuat kerana kita mendapat permintaan tinggi daripada rakyat,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya