Dakwa tanah diceroboh, orang Asli buat laporan polis

Dakwa tanah diceroboh, orang Asli buat laporan polis

SEKUMPULAN penduduk Orang Asli salinan laporan polis selepas selesai membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang di Gua Musang, Kelantan. UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Masyarakat Orang Asli membuat laporan polis selepas mendakwa tanah di mereka diceroboh oleh syarikat perladangan dan pembalakan secara berleluasa terhadap sehingga menjejaskan kawasan Tanah Dan Wilayah Adat mereka.

Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang di sini selepas mereka mendakwa kawasan penempatan Orang Asli telah diteroka sejak hampir tiga bulan lalu sehingga menjejaskan kehidupan lebih 1, 000 penduduk di Pos Ber, Kampung Haed dan Kampung Mendrod dekat Pos Brooke.

Wakil penduduk Kampung Haed, Ramli Ajom, 34, berkata, sejak akhir-akhir ini aktiviti pembukaan ladang tanpa kawalan telah menyebabkan kawasan tadahan air tercemar dan berlaku kemusnahan tanaman di kebun yang diusahakan mereka.

Menurutnya, penduduk berharap pihak berwajib seperti kerajaan negeri, Pejabat Tanah dan Jajahan, Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dapat membantu menyelesaikan masalah tersebut.

“Masalah ini menyebabkan kerana penempatan mereka yang didiami sejak nenek moyang mereka semakin terancam dengan aktiviti penerokaan tanah. Penduduk berharap tolong kaji semula projek yang diluluskan dan jangan merosakkan sumber air Orang Asli apabila hendak buka ladang. 

“Jika perkara ini tidak ada tindakan daripada pihak berwajib, maka kami orang sekeliling susahlah,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Wakil penduduk Orang Asli Kampung Mendrod, Pos Brooke, Legek Alang, 69, memberitahu, projek penanaman durian telah pun bermula di kawasan kampungnya sejak Julai lalu sehingga memberi kesan terhadap kehidupan harian mereka termasuk air tercemar.

Katanya, sejak 25 Julai lalu, pihak syarikat telah membawa masuk jentera berat untuk meneroka tanah berhampiran penempatan mereka.

“Kami telah membuat beberapa siri perbincangan dan pada awalnya pihak syarikat berjanji tidak akan mengganggu hasil tanaman dan sumber air kami, tetapi semakin lama penerokaan tanah semakin tidak terkawal.

“Sebagai penduduk terawal di sini kami tidak berpuas hati dengan pihak syarikat kerana memberi kesan kepada kelangsungan hidup kami termasuklah masa depan anak serta cucu kami,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK), Nasir Dollah berkata, sebanyak 30 laporan polis telah dibuat berkaitan isu pembalakan dan perladangan yang dilaksanakan di kampung terlibat.

Katanya, penduduk tidak berpuas hati apabila kebun dibuka di kawasan perkampungan yang  akan memberi kesan kepada kehidupan Orang Asli.

“Pada peringkat awal penduduk di Pos Ber sudah berjumpa dengan pihak syarikat supaya mereka membatalkan projek dipercayai berkeluasan lebih 800 hektar yang akan memberi kesan kepada Orang Asli.

“Jadi kami minta kerajaan negeri perlu berhentikan dengan kadar segeralah projek perladangan atau pembalakan yang menjejaskan kehidupan masyarakat Orang Asli,” katanya.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya