JOHOR BAHRU: Umat Islam yang baharu mendaftar untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini perlu menunggu selama 160 tahun atau hingga 2183 sebelum tiba giliran mereka.
Pengarah Lembaga Tabung Haji Johor, Abu Shukor Jangga berkata, setakat ini terdapat kira-kira 2.5 juta individu berdaftar dengan pihaknya sedang menunggu giliran masing-masing.
Walau bagaimanapun, pihaknya tetap menggalakkan orang ramai untuk membuka akaun Tabung Haji dan berdaftar untuk menunaikan ibadah tersebut sejak kecil.
“Untuk makluman semua, kalau kita daftar haji tahun ini, kita kena tunggu lagi 160 tahun lagi untuk nama kita naik pergi haji, itu dalam sistem kita. Sehubungan itu, kita juga meminta mereka untuk sentiasa membuat rayuan terhadap pendaftaran mereka.
“Cepat atau lambat pergi haji itu bukan kerja kita, sebaliknya kita berdaftar menunjukkan niat untuk ke sana sudah ada. Sekiranya individu itu meninggal sebelum sempat menunaikan haji, insya-Allah pahala sudah ada.
“Sistem kita berdasarkan ‘first come first serve’, tetapi kebarangkalian itu kita tidak tahu. Mungkin Allah tetapkan dia pergi tahun depan, jadi dia pergi tahun depan, tidak mustahil,” katanya ditemui selepas Majlis Sumbangan Komputer Kepada Komuniti Sekolah Agama Negeri Johor di Menara Tabung Haji Johor, di sini hari ini.
Abu Shukor berkata, pihaknya menyasarkan sebanyak 70,000 pendaftaran baharu diterima pada tahun ini.
“Kita telah peroleh kira-kira 50,000 permohonan baharu. Jadi, selebihnya kita yakin akan dapat capai menjelang akhir tahun ini,” katanya,
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Theta, Datuk Nuraslina Zainal Abidin berkata, Theta selaku anak syarikat Tabung Haji menyampaikan 804 unit komputer kepada beberapa sekolah di seluruh negara sejak Februari tahun lalu.
“Objektif program ini untuk mendigitalkan komuniti B40. Kami mempromosi pembangunan komuniti dan membantu merapatkan jurang dalam akses internet dan teknologi antara anak-anak berpendapatan tinggi dan kurang berkemampuan,” katanya. – UTUSAN