JOHOR BAHRU: Ceramah Perpaduan Pulai anjuran Pakatan Harapan (PH) yang diadakan di Taman Dahlia, di sini dilihat kurang mendapat sambutan apabila hanya dihadiri kira-kira 150 pengunjung.
Jumlah itu diperoleh berdasarkan tinjauan setelah ditolak jentera gabungan kerajaan perpaduan, anggota polis, peniaga serta petugas media yang turut hadir.
Kehadiran beberapa pemimpin seperti Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid juga gagal menarik kehadiran pengunjung.
Khemah yang mampu memuatkan kira-kira 500 kerusi itu dilihat kurang daripada separuh diduduki setakat pukul 10 malam ini.
Kehadiran artis tempatan seperti Ito Blues Gang dan Kid Afero juga tidak mampu menarik kehadiran penduduk setempat yang rata-ratanya terdiri daripada kaum Melayu. – UTUSAN