Cadang masukkan beras tempatan dalam Bazar Rakyat Agro Johor - Utusan Malaysia

Cadang masukkan beras tempatan dalam Bazar Rakyat Agro Johor

ZAHARI SARIP (kanan) melihat pameran yang disediakan peserta pada Bengkel Kemahiran Keibubapaan Peringkat Negeri Johor di Dewan Muafakat Taman Pulai Indah, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri ini akan mencadangkan supaya beras putih tempatan dimasukkan dalam senarai barangan dijual dengan harga apungan menerusi program Bazar Rakyat Agro Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Zahari Sarip berkata, langkah itu sebagai komitmen kerajaan negeri dalam menangani kesukaran rakyat mendapatkan bekalan beras putih tempatan ketika ini.

Menurutnya, perkara tersebut akan dibincangkan antara pihaknya dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bersama-sama Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

“Walaupun isu bekalan beras ini adalah isu nasional dan bukan dalam bidang kuasa kerajaan negeri, tetapi kita tidak akan lepas tangan, sebaliknya akan buat keputusan terbaik untuk membantu menyelesaikannya.

“Sehubungan itu, saya dan FAMA akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Selasa atau Rabu ini bagi memperhalusi kedudukan sebenar bekalan beras di negeri ini serta bagi mencari langkah penyelesaian terbaik,” katanya selepas merasmikan Bengkel Kemahiran Keibubapaan Peringkat Negeri Johor di Dewan Muafakat Taman Pulai Indah, di sini hari ini.

Zahari berkata, langkah yang akan diambil kelak sama ada merupakan penyelesaian jangka masa panjang atau pendek bergantung dengan situasi semasa.

“Antara langkah yang boleh diambil adalah menerusi pelaksanaan program Bazar Rakyat Agro Johor yang sebelum ini hanya melibatkan empat barangan, iaitu ayam, telur, minyak dan ikan. Jadi, mungkin selepas ini kita akan turut sertakan beras dalam program itu, sama ada harganya akan turut diapungkan sebagaimana kita lakukan dengan empat barangan itu akan ditentukan dalam perbincangan nanti,” katanya.

Ditanya sama ada isu bekalan beras turut dimasukkan dalam Belanjawan Johor 2024 yang akan dibentangkan Menteri Besar Johor pada November depan, Zahari berkata, perkara itu akan diteliti, sama ada memerlukan penyelesaian tempoh jangka masa pendek atau panjang.

“Tetapi sekiranya perlu disertakan, perbincangan turut dibuat, tetapi apa pun kita akan beri taklimat dahulu tentang kedudukan beras kita, kerajaan negeri sedang melaksanakan persiapan Belanjawan Johor 2024 ketika ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya