BENTONG: Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan calon yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai 20 September ini.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, lokasi pengumuman akan dibuat di Dewan UMNO Bahagian Bentong pukul 8 malam.
Tambah beliau,Majlis Pelancaran Jentera BN bagi PRK berkenaan diadakan pada petang hari yang sama di Dataran Simpang Pelangai di sini.
“Calon itu ditentukan selepas perbincangan dan mengambil kira pelbagai kriteria calon boleh menang,” katanya kepada pemberita selepas Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Pahang di Felda Chemomoi, Pelangai di sini hari ini.
Kerusi N36 Pelangai, diisytiharkan kosong susulan kematian penyandangnya dari Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Johari Harun yang terlibat nahas pesawat di Lebuhraya Guthrie di Bandar Elmina di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.
Susulan itu, SPR menetapkan 23 September ini sebagai hari penamaan calon dan 7 Oktober hari pengundian PRK DUN Pelangai membabitkan 16,456 pemilih berdaftar.
Johari yang kali pertama bertanding mewakili BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu menang di Pelangai dengan majoriti 4,048 undi.
Allahyarham menewaskan PN, Kasim Samat (3,260 undi); Ahmed Wafiuddin Shamsuri dari Pakatan Harapan (PH) (2,031 undi) dan Isa Ahmad dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) memperoleh 65 undi. – UTUSAN